PENGHIJRAHAN membawa misi besar untuk survival Islam.
PENGHIJRAHAN membawa misi besar untuk survival Islam.
Mohd Shahrizal Nasir

RASULULLAH SAW adalah insan mulia yang diutus oleh Allah SWT untuk membawa risalah Ilahi. Baginda melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atasnya dengan jaya. Buktinya, sehingga hari ini agama Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Semuanya atas usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah bersama sahabat Baginda yang setia.

Benarlah bahawa Rasulullah adalah insan mulia dan mesti dijadikan contoh ikutan oleh seluruh manusia. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah membuktikan jiwa dan raga Baginda diserahkan seluruhnya untuk memastikan agama Allah SWT terus subur di atas muka bumi ini. Baginda sanggup menempa pelbagai cabaran demi memastikan dakwah Islam sampai ke setiap orang sehingga tibanya hari kiamat kelak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."  (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Baginda SAW digelar  al-Amin iatu orang yang dipercayai sejak sebelum menerima wahyu daripada Allah. Gelaran itu membuktikan pengiktirafan masyarakat di Makkah terhadap budi pekerti Baginda yang luhur. Namun apabila Baginda menerima wahyu dan menyebarkannya kepada orang ramai, gelaran mulia yang diterima oleh Baginda serta-merta bertukar dengan pelbagai gelaran yang tidak enak didengar.

Rasulullah pernah digelar sebagai orang gila. Namun hal itu dinafikan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud:  "Dan sebenarnya sahabat kamu (Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh)."  (Surah at-Takwir, ayat 22).

Daripada gelaran  al-Amin, Rasulullah juga pernah digelar sebagai penyair yang mengungkapkan kata-kata dusta dan omongan kosong.

Tohmahan ini juga dijawab oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud:  "Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman."  (Surah al-Haqqah, ayat 41)

Allah menyatakan bahawa sememangnya Rasulullah pernah ditohmah dengan pelbagai gelaran yang tidak baik. Namun semuanya itu tidak pernah melunturkan semangat pengorbanan Baginda untuk menyebarkan dakwah membawa manusia ke jalan yang benar.

Tidak cukup dengan cabaran besar dari sudut mental dengan pelbagai gelaran buruk, Rasulullah juga berdepan dengan cabaran fizikal. Rasulullah pernah dikasari oleh golongan musyrikin sehingga ada ugutan bunuh. Rasulullah serta sahabat Baginda pernah dipulaukan selama beberapa tahun hanya untuk melunturkan semangat juang Baginda dalam menyebarkan Islam.

Peristiwa hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah juga adalah bukti pengorbanan besar yang dilakukan oleh Baginda. Banyak perkara yang boleh diambil pengajaran daripada peristiwa hijrah. Antaranya ialah peristiwa hijrah menunjukkan betapa Rasulullah berusaha sehabis baik untuk memastikan Islam dapat terus berkembang. Perancangan rapi yang diatur oleh Baginda menunjukkan Baginda tidak pernah lari daripada menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang rasul.

Dalam hal ini, sebarang usaha meletakkan tindakan Rasulullah dan umat Islam berhijrah ke Madinah sebagai usaha yang disama taraf dengan istilah pelarian atau  refugee  perlu disanggah. Sesungguhnya proses hijrah Rasulullah berlaku selepas siri-siri pelawaan berserta perjanjian oleh orang Madinah sendiri untuk Baginda dan umat Islam berhijrah ke Madinah.

Selain itu, penghijrahan Rasulullah dan umat Islam menyaksikan Baginda diberi tempat sebagai pemerintah di Madinah dengan penerimaan Islam sebagai agama yang dipercayai oleh sejumlah besar penduduk Madinah. Malah golongan bukan Islam di Madinah turut akur dan mengiktiraf kepemimpinan Rasulullah sehinggalah kemudiannya mereka mengkhianati Baginda dan Piagam Madinah.

Ini membuktikan kedatangan Rasulullah ke Madinah tidak boleh sama sekali diletakkan dalam kategori pelarian.

Hijrah Rasulullah membawa misi besar yang mengutamakan survival Islam dan bukannya kepentingan peribadi. Golongan pelarian dikaitkan dengan usaha mereka mendapatkan perlindungan diri, sedangkan hal sebegitu bukanlah misi hijrah umat Islam ke Madinah. Hijrah Rasulullah bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya untuk kelangsungan dakwah Islam. 

Buktinya jelas, Rasulullah diangkat sebagai orang yang memberi perlindungan bukannya sebagai orang yang dilindungi ketika di Madinah. Kepemimpinan Islam di Madinah selepas Rasulullah turut dipegang oleh golongan Muhajirin yang berasal daripada Mekah seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Mereka semua bukan golongan pelarian.

Hujah yang paling kukuh bagi membuktikan penghijrahan Rasulullah ke Madinah sebagai satu bentuk pengorbanan terhadap agama adalah apabila usaha tersebut diiktiraf oleh Allah dengan kurniaan ganjaran yang amat istimewa. Hal ini jelas membuktikan golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah telah mengutamakan agama Allah. Justeru orang yang berhijrah bersama Rasulullah tidak layak sama sekali disamatarafkan sebagai golongan pelarian atas apa juga alasan dan tujuan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Dan golongan yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui."  (Surah an-Nahl, ayat 41)

Firman Allah SWT lagi bermaksud:  "Dan orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia."  (Surah al-Hajj, ayat 58)

Dalam siri peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW, Baginda mempertaruhkan nyawa hanya untuk memastikan Islam tidak ditindas dan dilenyapkan daripada bumi Allah. Perang Uhud telah menggambarkan betapa usaha untuk menegakkan agama Allah tidak selalunya diakhiri dengan kemenangan. Walau bagaimanapun, semangat pengorbanan Rasulullah tetap utuh dan tidak pernah luntur meskipun pernah berdepan dengan kekalahan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang merakamkan kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud:  "Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan golongan yang (sebenar-benarnya) beriman."  (Surah Ali 'Imran, ayat 166)

Terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah untuk agama Islam. Semua pengorbanan Baginda ini perlu dicontohi kerana ia adalah sebaik-baik pengorbanan yang ditunjukkan oleh sebaik-baik insan di atas muka bumi ini. Usahlah meletakkan pengorbanan Rasulullah SAW pada tahap yang rendah kerana ia akan merendahkan nilai pengorbanan Baginda. 

Penulis adalah pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 5:59 AM