FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hadzlan Hassan


Secara jujur, saya sebenarnya tidak berminat berbicara soal politik dengan sesiapa pun kerana tidak mempunyai kecenderungan ke arah itu.

Ini kerana sepanjang bertugas sebagai wartawan, kebanyakan liputan saya hanya berkisar perihal jenayah namun selepas mula bertukar ke Klang sebagai wakil Selangor sebelum ke Terengganu dan kembali ke Shah Alam sebagai ketua biro serba sedikit perkembangan politik perlu diambil tahu.

Di Selangor, saya pernah bertugas ketika negeri itu di bawah kendalian Allahyarham Pak Abu, (Tan Sri Abu Hassan Omar) yang mengambil tugasan itu daripada Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebelum kepemimpinan negeri itu diambil alih Dr Mohamad Khir Toyo selepas beliau melepaskan jawatan pada 2000.

Sejurus pulang dari Terengganu selepas beberapa tahun di bawah kendalian Pok Yeh (Tan Sri Idris Jusoh) dan Datuk Seri Dr Ahmad Said, saya kembali ke Selangor, namun kali ini negeri penyumbang hasil pendapatan terbanyak itu sudah beralih kepemimpinan parti iaitu daripada Umno kepada PKR.

Belum pun sempat berbangga kerana dapat bekerja ketika zaman wira negara ketika 'serangan Subuh', arwah Tan Sri Khalid Ibrahim, saya sekali lagi dikejutkan dengan pertukaran kepemimpinan negeri selepas Datuk Seri Azmin Ali mengambil alih tampuk pemerintahan pada 23 September 2014.

Apa-apa pun arwah Khalid adalah individu pertama memimpin Selangor dari luar Umno dan kini PKR tetap utuh sebagai pemerintah melalui Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketika zaman kami, kerusi di Dun yang berada dalam Parlimen Shah Alam, Klang, Ampang, Kuala Langat, Petaling Jaya, Tanjung Karang Hulu Selangor dan Sepang antara sering menjadi tumpuan.

Sepanjang bergelumang dan bergaul dengan orang politik, suasana politik antara negeri ternyata jauh berbeza.

Cah keting (cantas-mencantas) kawan dalam parti sendiri juga turut membabitkan pelbagai cara sama ada gentleman atau tidak. Namun itulah politik.

Baru-baru ini ketika minum sendirian di sebuah kedai di Subang, bahu saya tiba-tiba ditepuk dari belakang dan apabila berpaling dia adalah pemberi maklumat saya ketika zaman Umno berkuasa di Selangor.

Maka keluarlah pelbagai cerita daripada perihal kematian Datuk Ismail Kijo, Datuk Mokhtar Dahlan hinggalah kepada Mohd Daud Tarihep.

Selepas puas berbual kisah lama saya mula bertanya mengenai peluang Umno di Selangor dan jawapan yang diberikan agak munasabah.

"Aku rasa Selangor ni masih ada kerusi untuk Umno boleh pergi (menang) cuma calon kenalah betul.

"Kau bayangkanlah dulu kerusi kuat pun boleh tumbang dekat Tanjung Karang tu...kau rasa kenapa? Sebab Tan Sri Noh ke, padahal kawasan itu boleh kata darah biru," katanya penuh semangat.

Sebelum suaranya mula meninggi saya mula tidak banyak soal menyebabkan dia tidak mula merendah nada suara kerana mungkin tahu saya tidak berminat.

Tapi apa yang diperkatakannya mencuri perhatian saya kerana dia bertanyakan mengenai calon-calon profesinoal dari Tanjung Karang yang banyak menabur bakti di kawasan itu.

Dia mempertikaikan ke mana hilangnya anak muda yang banyak membantu menaikkan nama bahagian berkenaan dan tidak pernah mengharapkan balasan daripada kepemimpinan kawasan itu.

"Mana perginya peguam yang banyak berjasa kepada warga Tanjung Karang dulu hingga sanggup berhabis jutaan ringgit dengan membina bangunan sebagai pusat tuisyen kepada pelajar dulu?

"Orang macam inilah Tanjung Karang perlukan malah sampai hari ini orang tempatan masih mengingatinya, tetapi 'ditanam' hidup-hidup agar tidak dikenali pihak atasan macam akulah," katanya sambil ketawa kecil.

Mendengar ceritanya saya terus teringatkan lelaki berkenaan kerana secara kebetulan saya membuat liputan akhbar perasmian bangunan berkenaan yang ketika itu dirasmikan Dr Khir Toyo selaku Menteri Besar Selangor.

"Aboi kan lawyer," celah saya. "Ha! itu nama dia kat kampung nama betul aku pun tak tahu."

"Tapi sampai sekarang orang masih ingat dia kerana jasa dan baktinya tambahan pula dia pernah menjadi pemimpin belia dulu," katanya.

Selepas membuat sedikit homework barulah saya tahu siapa lelaki yang dimaksudnya.

Rupa-rupanya lelaki berkenaan adalah anak saudara kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Karang selama 26 tahun sekitar 70-an hingga 80-an, Datuk Kamaruzaman Ahmad yang menyerahkan kepemimpinan kepada penggantinya.

Selepas masing-masing berpisah, dia memaklumkan walaupun tidak lagi aktif dalam politik, dia tetap memerhati jendela politik dari luar dan dia percaya walaupun ramai pihak menjangkakan Umno bakal kehilangan banyak kerusi di Selangor masih ada kerusi yang boleh diselamatkan jika kriteria calon diteliti.

Apa diperkatakannya boleh diterima akal kerana hari ini, ramai ahli yang dahulunya seakan-akan berpihak kepada pemimpin mereka yang tidak membantu parti mula hilang rasa simpati angkara tindakan pemimpin itu sendiri.

"Mereka sudah melihat sendiri ada yang mula melobi untuk memastikan kerusi yang bakal dipertandingan diberikan kepada mereka atau diwarisi kepada kaum keluarga walaupun sebelum ini sering bercakap soal prinsip dan kredibiliti.

"Negeri lain aku tak berani komenlah tapi aku percaya di Selangor masih ada kerusi yang boleh diselamatkan," katanya.

Penulis Penyunting Eksekutif Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:00 AM