Suraya Ali


Shah Alam: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding di Selangor d ibawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Jun depan.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti yang bakal disertai atau bertanding atas tiket keahlian PN secara terus.

Desas desus beliau akan bertanding dalam PRN akan datang sudah lama diperkatakan lebih - lebih lagi dia dilihat sebagai orang lama dan berpengaruh di Parlimen Tanjung Karang, Selangor.

"Saya sudah sebati dengan politik, saya bukan penonton saya mesti terlibat sama dalam pertandingan politik, jika pasukan dahulu (Umno) setelah saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak saja," katanya ketika ditemui di Majlis Ukhwah Raya di sini hari ini.

Mengambil contoh pemain bola, Noh berkata beliau akan cari pasukan baru, kerana sebagai pemain yang hebat setelah disingkir satu pasukan, beliau akan pindah pasukan lain.

Kurang dua bulan sebelum PRN dijangka diadakan, tumpuan rakyat adalah kepada negeri Selangor di mana Perikatan Nasional (PN) dikatakan yakin untuk merampas negeri itu dari Pakatan Harapan (PH)

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu, PN melalui PAS memenangi enam kerusi parlimen Selangor manakala PH memenangi 16 kerusi.

Noh bagaimanapun tidak dicalonkan Umno pada PRU-15 sebelum digantung keahliannya Januari lalu.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Januari memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun namun bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.

Permintaan itu dipersetujui Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Semalam, media melaporkan anaknya, Nurul Syazwani Noh akan bertanding untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di parlimen Tanjong Karang di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Nurul kini memegang jawatan Ketua Srikandi Muda di Tanjong Karang sebelum ini adalah ahli Umno, menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

Noh berkata beliau memahami kekecewaan anaknya terhadap Umno dan tidak menghalang niat anaknya untuk bertanding dalam PRN dengan PN.

"Sebagai bapa, sudah tentu saya akan turun berkempen untuknya jika benar dicalonkan bertanding dalam PRN Selangor nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 7:06 PM