NOH ketika sidang media selepas merasmikan Hari Ladang di Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang. FOTO BERNAMA
NOH ketika sidang media selepas merasmikan Hari Ladang di Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang. FOTO BERNAMA
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Barisan Nasional (BN) Selangor memberi bayangan akan mengetengahkan calon nama 'besar' untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, calon muda dan wanita juga bakal diketengahkan bagi mewakili parti itu di mana senarai nama calon sudah dibincangkan, Rabu lalu.

"Perkara ini akan dimuktamadkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh sebenar PRU-15.

"Kita tunggu kerana ini baru pusingan pertama dan (nama calon kerusi Parlimen mewakili BN) akan diumumkan selepas ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Ladang di Tali Air 3, Ban 1, Sungai Burong, di sini, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sebagai ahli parti, beliau tidak boleh mendahului keputusan pucuk tertinggi.

"Saya hanya berunding dan keputusan terletak pada kepimpinan tertinggi untuk menentukan siapa calon sesuai dan layak mewakili BN," katanya.

Sebelum ini, nama seperti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah yang dijangka ditampilkan di Parlimen Kuala Selangor.

Nama lain yang disebut sebagai calon BN antaranya bekas Menteri Besar Selangor Dr Dr Mohamad Khir Toyo, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil dan Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.

Pada PRU-14 lalu, BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh bertindak keluar dari Umno dan menyertai Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 4:14 PM