Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tan Sri Noh Omar meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Beliau yang juga penyandang Parlimen Tanjung Karang berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan kepimpinan tertinggi yang hadir ke Mesyuarat Politik Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Menurut Noh, keputusan itu juga dibuat kerana beliau sudah hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid selaku presiden.

"Saya tidak dipanggil berbincang sebelum digugurkan sebagai calon.

"Tak kecil hati, saya pun sudah lama, sudah enam penggal cuma cara digugurkan itu seolah-olah parti tidak hargai apa saya buat untuk bantu bangunkan UMNO Selangor.

"Untuk itu, saya nak umumkan hari ini secara rasminya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana bukan saja presiden tak percaya, saya juga sudah hilang kepercayaan (terhadap presiden)," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan dirinya masih lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Berhubung desakan ahli dan beberapa kepimpinan yang mahu Ahmad Zahid berundur dan sejauh mana penerimaan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Noh memaklumkan perkara itu sudah dinyatakan dalam mesyuarat.

"Sudah cakap dalam mesyuarat. Terpulang kepada dia (Ahmad Zahid).

"Saya tak nak komen mengenai ahli lain (yang mendesak untuk berundur).

"Bagi saya, biarlah orang baru menguruskan UMNO, lagipun dia (Ahmad Zahid) menang bawah (majoriti) 1,000," katanya.

Dalam PRU-15, BN menamakan Datuk Habibah Mohd Yusof sebagai calon di kerusi Parlimen Tanjung Karang bagi menggantikan Noh yang memenangi kerusi berkenaan selama enam penggal.

Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Zulkafperi Hanapi sebagai calon di Tanjung Karang manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Siti Rahaya Baharin dari Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai calon.

Keputusan PRU-15 semalam menyaksikan Dr Zulkafperi Hanapi memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang selepas menewaskan calon Habibah dan tiga calon lain dengan majoriti 2,180 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 3:16 PM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD