MOHD Ali (kiri) dan Mohammad Satim.
MOHD Ali (kiri) dan Mohammad Satim.
HM Digital

Hari kedua sesi mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) semalam menyaksikan lima ‘otai’ politik dari lima negeri iaitu Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan menerima khabar berbeza, manakala 156 calon baru diberi kepercayaan mengisi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang Ahli Parlimen Jempol Tan Sri Isa Samad, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Norzula Md Diah, penyandang DUN Paloh dalam Parlimen Gua Musang antara orang lama atau ‘otai’ yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) kali ini.

Calon BN untuk kerusi Parlimen Batu Pahat diisi Ketua Wanita bahagian itu, Haliza Abdullah, calon kerusi Parlimen Jempol diisi Senator Salim Sharif, manakala kerusi DUN Paloh mempertaruhkan Amran Arifin sebagai calon.

Pada PRU13, Mohd Puad tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi dengan majoriti 1,524, manakala Norzula yang sudah 28 tahun di DUN Paloh melepaskan kerusi itu kepada Amran.

Mohd Isa pula menang kerusi Parlimen Jempol dengan mengalahkan Juara Gegar Vaganza 4, Aisyah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang ketika itu sebagai calon PAS.

Bagi Norzula, beliau menerima dengan ‘hati terbuka’ apabila tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan.

“Keputusan tidak mencalonkan semula adalah kehendak kepemimpinan parti walaupun mengakui agak berat menerimanya kerana tidak dimaklumkan lebih awal,” katanya.

Namun, khabar berbeza diterima bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Ketua UMNO Bahagian Puchong Datuk Mohammad Satim Diman yang masing-masing dicalonkan semula.

Mohd Ali diberi kepercayaan bertarung semula di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya yang dulunya dikenali sebagai Bukit Katil untuk meneruskan perjuangan politiknya, manakala Satim, otai empat penggal itu kembali semula di persada politik Selangor bagi kerusi DUN Seri Serdang di Selangor selepas tidak dicalonkan pada PRU13.

“Lima tahun telah berlalu, sedih apabila ruang dan peluang yang diberi oleh pengundi tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh wakil rakyat pembangkang yang dipilih malah bantuan dan kebajikan terhadap rakyat tidak diambil kira dan diberi perhatian sewajarnya.

“Justeru, saya yakin dan percaya pengundi kini bijak menilai dalam menentukan wakil rakyat bagaimana yang mereka mahukan dalam menyelesaikan masalah dan berkhidmat secara terus membela nasib mereka,” Mohd Ali dilaporkan berkata.

Khabar gembira Mohd Ali dan Satim turut dirasai tiga calon muda lain iaitu Datuk Mohd Asyraf Wajdi Dusuki yang diberikan kepercayaan untuk mengisi kerusi Parlimen Pasir Puteh bagi menyaingi penyandang calon parti PAS.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu diberi kepercayaan menyaingi calon PAS selepas tewas kepada Datuk Kamaruddin Jaffar dari PAS (kini Parti Amanah Negara) pada PRU12 di Parlimen Tumpat.

Tidak ketinggalan anak kepada Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang diberikan kepercayaan bagi menyaingi penyandang dari PAS di DUN Gombak Setia dalam Parlimen Gombak.

Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Datuk Onn Hafiz Ghazi pula dicalonkan di DUN Layang-Layang bagi menggantikan penyandang Abd Mutalip Abd Rahim.

Selain itu, BN Selangor turut mencalonkan peguam muda, Imran Tamrin, 31, bagi berdepan pembangkang di kerusi Parlimen Kapar yang disandang PKR.

Paling menarik perhatian, kemunculan pakar motivasi agama popular Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat yang diberi kepercayaan untuk merampas kerusi DUN Sikamat dalam Parlimen Seremban yang kini milik PKR.

Pada PRU kali ini, BN, termasuk UMNO menawarkan calon berpengalaman, berwibawa pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional, ahli akademik, penjawat awam dan bekas tentera yang dilihat bukan saja mampu memberikan khidmat terbaik, malah, mampu menyaingi calon parti pembangkang.

Pengumuman calon BN, semalam menjadikan tujuh daripada 14 negeri telah mengumumkan calon masing-masing selepas BN Wilayah Persekutuan dan BN Terengganu berbuat demikian, kelmarin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 3:29 AM