GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Guru adalah kerjaya yang cukup mulia dan disanjung tinggi oleh masyarakat.

Berjayanya seseorang pada hari ini adalah disebabkan oleh peranan guru yang mendidik dan memastikan setiap anak muridnya memperoleh ilmu yang bermanfaat.

Semua ini menunjukkan betapa hebatnya seorang guru yang harus kita hormati dan hargai.

Justeru, agak terkilan apabila ada pelajar yang cuba menghina dan mengaibkan guru.

Misalnya, tindakan dua pelajar baru-baru ini yang menconteng belakang baju sekolah dengan perkataan kesat dan mencarut terhadap guru cukup mengejutkan.

Gambar yang menampakkan perkataan itu tertulis pada belakang baju dua pelajar yang membonceng motosikal itu tular di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada anggota masyarakat.

Rata-ratanya reaksi mereka marah dan merumuskan ini sebagai tindakan yang tidak wajar dan biadab.

Walaupun mereka yang terlibat sudah didakwa di mahkamah dan dilaporkan sudah memohon maaf secara terbuka, namun isu utamanya adalah kenapa ada yang tergamak dan sanggup menghina guru yang mendidik mereka selama ini?

Insiden ini juga mencetuskan kerisauan kepada kita apakah ini wajah generasi masa hadapan negara?

Jujurnya, kita bimbang golongan remaja dan belia semakin jauh daripada amalan nilai-nilai murni dan adab yang sepatutnya menjadi cerminan peribadi mulia diri mereka.

Perbuatan pelajar menggunakan ungkapan kesat terhadap guru perlu dilihat sebagai suatu kegagalan dalam institusi sosial di negara ini.

Ia disebabkan kegagalan untuk mendidik anak-anak menghormati guru yang memberikan ilmu kepada mereka.

Dalam konteks ini, jangan terkejut jika suatu hari nanti anak-anak mula berlaku biadab terhadap ibu bapa sendiri tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Sedar atau tidak, insiden seperti ini membuktikan betapa kita masih bergelut untuk mendidik dan melahirkan golongan belia yang memiliki amalan nilai-nilai terpuji yang boleh dibanggakan.

Meskipun ini mungkin insiden terpencil dan tidak melibatkan semua pelajar, namun perlu menilai dan merungkai isu ini dalam konteks yang lebih besar supaya perkara negatif seperti ini tidak berjangkit dan merebak dalam kalangan remaja di negara kita.

Ia penting kerana segala jenis perbuatan yang dianggap 'berani, luar biasa dan hebat' seperti ini yang tular dalam media sosial dengan mudah akan mempengaruhi remaja lain sekali gus akan menjadi ikutan mereka.

Bagi mereka, perbuatan memaki seorang guru tidak lagi dianggap suatu tindakan yang salah atau tidak beradab.

Tuntasnya, mereka tidak lagi peduli soal betul atau salah dan wajar atau tidak, sebaliknya taasub untuk mengikuti jejak langkah rakan mereka asalkan ia boleh mempopularkan diri mereka di media sosial.

Jelas sekali, ini satu situasi yang cukup membimbangkan.

Ironinya, guru adalah insan mulia yang mempunyai peranan dan sumbangan yang cukup signifikan dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Oleh itu, guru perlu diletak pada kedudukan yang sewajarnya, justeru perbuatan menghina seperti ini dilihat cukup keterlaluan dan menyedihkan.

Bagaimana mereka lupa segala pengorbanan guru dalam memastikan anak murid masing-masing bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM tatakala kita terpaksa meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Kenapa begitu mudah kita lupa kesanggupan guru menggunakan segala kemahiran dan kemampuan yang ada demi memastikan kelas secara dalam talian dapat diteruskan agar pelajar tidak ketinggalan.

Hakikatnya, ramai yang terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menyediakan pelbagai kemudahan peranti supaya dapat melaksanakan kelas secara efisien, bertepatan dengan peribahasa, guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Oleh itu, besarlah harapan supaya ibu bapa dapat memainkan peranan dalam mendidik anak-anak berkaitan adab terhadap seorang guru serta adab dalam menuntut ilmu.

Berpegang kepada beberapa insiden 'tidak beradab' pelajar kepada guru yang pernah berlaku sebelum ini seperti melawan cakap guru, mengugut, mengejek dan mengaibkan guru dalam media sosial serta merosakkan harta benda guru seperti kereta kerana marah dan dendam, penulis berpandangan pelajar zaman sekarang semakin lupa adab yang sewajarnya mereka hayati dan amalkan.

Justeru, ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk menghormati guru sebagaimana mereka perlu menghormati ibu bapa.

Pelajar perlu diingatkan, guru umpama pengganti kepada ibu bapa ketika kita berada di sekolah ataupun di tempat-tempat menuntut ilmu.

Pastikan juga anak-anak tidak melawan cakap guru serta sentiasa menerima teguran dan nasihat guru dengan hati yang terbuka kerana ia demi kebaikan masa depan mereka sendiri.

Pesanlah kepada anak-anak supaya tidak sama sekali mencemarkan maruah insan yang telah banyak berkorban dan memberikan ilmu kepada kita untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hakikatnya, guru tidak pernah mengharapkan sebarang balasan, sebaliknya kepuasan hati seorang guru hanyalah ketika melihat kejayaan anak murid mereka dari aspek akademik, akhlak dan peribadi.

Semoga kita dapat melahirkan generasi yang beradab serta berakhlak tinggi yang tahu menghormati dan menghargai sumbangan guru.

Sesungguhnya beradab dengan guru adalah amalan mulia yang harus dibudayakan.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:00 AM