SEORANG Muslim perlulah menjaga kemuliaan dan beradab dalam usaha mencari ilmu pengetahuan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
SEORANG Muslim perlulah menjaga kemuliaan dan beradab dalam usaha mencari ilmu pengetahuan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

Tidak seperti sebelumnya, semua sekolah di negara ini akan memulakan sesi pembelajaran menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPr). Sesi pengajaran kali ini adalah berdasarkan lokaliti sekolah dan institusi iaitu sama ada bersemuka atau Pengajaran dan Pembelajaran di ruk s smah (PdPr). Kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia yang terus komited meneruskan sesi pengajaran ini wajar dipuji kerana pendidikan adalah wahana penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berilmu pengetahuan.

Berbekalkan semangat baharu pada awal 2021, pastinya ibu bapa mengharapkan kejayaan anak-anak mereka di dalam peperiksaan hasil daripada proses pembelajaran di bilik darjah.

Lihat sahaja di kedai yang menjual peralatan persekolahan, ramai dalam kalangan waris mengambil kesempatan mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Malah, ada dalam kalangan pelajar yang tidak sabar-sabar hendak ke sekolah setelah agak lama tidak bersua bersama guru dan rakan-rakan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan. Tambahan pula, terdapat beberapa peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya dijalankan pada tahun lalu namun ditangguhkan ke tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Musibah banjir juga yang baharu berlaku di beberapa negeri turut menyebabkan beberapa sekolah turut ditenggelami air malah terdapat beberapa sekolah yang hanya kelihatan bumbung akibat kedalaman air banjir yang melanda.

Moga Allah SWT memberi kekuatan dan kesabaran buat warga pendidik di sana bagi memulakan kembali sesi persekolahan yang akan berlangsung kelak.

Ruangan kali ini penulis ingin mengajak pembaca agar kita bersama-sama bermuhasabah kembali adakah kita selaku ibu bapa mendidik anak-anak kita menghormati guru yang berfungsi sebagai 'ibu bapa' di sekolah.

Pada masa kini, seringkali kita didedahkan dengan pelbagai laporan media sama ada bercetak atau elektronik mengenai kes ibu bapa yang menyaman pihak sekolah atau guru atas sebab yang tertentu.

Kadangkala hanya berpunca dengan isu yang dianggap remeh sahaja, boleh bertukar menjadi isu yang besar seperti laporan kepada pihak polis dan sebagainya. Malah, ada kes terdapat ibu bapa yang hanya mendengar khabar di sebelah pihak sahaja iaitu anak mereka tanpa merujuk dengan pihak sekolah terlebih dahulu. Malah, gejala tular yang berleluasa dengan mudah membuatkan terdapat dalam kalangan ibu bapa bersikap dingin dengan warga sekolah yang memberikan khidmat terbaik buat anak-anak mereka sehingga menyebarkan kekurangan tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Terkenang kembali bagaimana situasi pembelajaran ketika zaman dahulu. Jika terdapat guru yang merotan anak murid mereka yang melakukan sebarang kesalahan, si anak tadi ketika pulang ke rumah pastinya tidak berani untuk mengadu hal itu kepada ibu bapa mereka. Ini kerana mereka bimbang jikalau akan ada hukuman yang kedua menanti mereka jika perkara itu dilaporkan kepada kedua-dua ibu bapa. Pada masa sama, kerjaya sebagai seorang guru sangat dihormati masyarakat walaupun setinggi mana darjat seseorang. Panggilan cikgu, ustaz atau ustazah pastinya melekat hingga jasad mereka disemadikan.

Sepatutnya ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada guru yang diamanahkan mendidik anak mereka di sekolah. Persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif sepatutnya dijadikan medan yang paling dipercayai untuk menjadi lembayung ilmu bagi anak-anak saat waris mereka mencari rezeki di tempat kerja. Ulama terdahulu sangat menitikberatkan adab terhadap guru bagi meraih keberkatan terhadap ilmu yang diperoleh.

Dalam Islam antara perkara yang akan mengundang keberkatan ilmu adalah dengan cara menghormati guru yang berkongsi ilmu kepada kita. Mengambil contoh bagaimana fuqaha terdahulu seperti Imam Syafie ketika sedang menuntut ilmu bersama Imam Malik, beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu akan mengganggu gurunya.

Selain itu, Imam Rabi' tidak sama sekali berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya itu. Selain itu, anak-anak juga perlu belajar untuk merendahkan diri terhadap guru dan mengelakkan perasaan bongkak termasuk ketika bercakap dengan mereka dengan bersopan santun.

Oleh kerana sifat rendah diri ini juga Imam Syafie pernah ditegur oleh gurunya yang sangat dipandang tinggi oleh beliau. Sehinggakan pernah dibacakan syairnya yang berbunyi: "Saya sengaja merendahkan diri di hadapan mereka yang dimuliakan kerana ilmu-ilmu yang ada padanya. Dan mana-mana jiwa yang tidak pernah menghinakan dirinya, dia tidak akan merasakan kemuliaan di dalam dirinya."

Manusia yang berusaha mencari ilmu adalah mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT. Dalam Surah Al-Mujadalah ayat yang ke 11 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat."

Oleh kerana itu, seseorang Muslim haruslah menjaga kemuliaan dan beradab dalam usaha mencari ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi bahawa sesungguhnya malaikat dan penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di dalam lubangnya serta ikan berselawat (berdoa) untuk orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.

Hormatilah guru, semoga barakah ilmu akan terhasil dan kesannya ilmu yang diperoleh akan mudah diamalkan dan dimanfaatkan untuk kebaikan dunia serta akhirat.

Penulis penuntut di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 7:15 AM