ISLAM meletakkan nilai malu di puncak akhlak seseorang Mukmin.
ISLAM meletakkan nilai malu di puncak akhlak seseorang Mukmin.
Mohd Rizal Azman Rifin

Bidang pendidikan amat penting bagi sesebuah negara. Kemajuan dalam pendidikan membolehkan rakyatnya hidup dalam situasi sejahtera dengan kemampuan untuk membangunkan negara ke arah yang terbilang. Sebab itulah, pihak kerajaan saban tahun telah memperuntukkan jumlah yang besar untuk pembangunan sektor pendidikan.

Menyentuh persoalan memberikan pendidikan untuk rakyat, ia sebenarnya bukan sekadar untuk meninggikan martabat sebagai rakyat yang berilmu pengethuan semata-mata. Pendidikan bukan sekadar terhad dengan melihat kepada pencapaian akademik dan peperiksaan yang cemerlang sahaja. Sebaliknya, pendidikan mempunyai matlatamat tunjang yang tidak boleh dipandang sebagai perkara remeh, iaitu membina watak insan yang beradab tinggi, berakhlak murni.

Dalam sejarah Islam, dapat kita lihat baagaimana persoalan adab dan akhlak amat diberikan perhatian utama. Hinggakan para ulama terdahulu menjadi ilmu menyerap adab, akhlak murni dalam diri sebagai keutamaan yang perlu diutamakan sebelum 'terjun' dalam mendalami ilmu-ilmu yang lain. Mereka dengan sedayanya akan belajar beradab sebagai seorang penunut ilmu. Dengan erti kata lain, beradab dahulu sebagai pelajar ilmu.

Apa yang telah sekian kalinya berlaku dalam alam persekolahan mahupun di dunia pengajian tinggi, yang sering memaparkan insiden vandalisme dengan perbuatan merosakkan harta dan kemudahan awam menjelaskan kepada kita betapa nilai adab dan akhlak seolah-olah tidak tertanam dalam diri. Sayang sekali kerana kita sudahpun lebih setengah abad mencapai kemerdekaan, tetapi perbuatan segelintir pihak yang tidak mensyukuri nikmat ada pelbagai kemudahan masih wujud lagi.

Sebenarnya, gejala vandalisme bukan perkara baharu kerana ia telah sekian lama berlaku dan sering dikaitkan dengan pembabitan golongan anak muda remaja. Pernah dilaporkan dalam kajian bahawa 80 peratus gejala keji itu membabitkan golongan remaja dalam lingkungan 15 hingga 20-an. Jadi, berdasarkan statistik itu, jelas menunjukkan bahawa masih banyak perkara perlu dilakukan dalam memperbetulkan keadaan supaya gejala negatif tersebut tidak berterusan menjadi amalan. 

Kita tentunya amat mengimpikan anak-anak kita semua membesar menjadi seorang rakyat yang sentiasa menghargai nikmat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Kita sudah tentu mahukan kesemua anak kita memiliki rasa syukur atas segala nikmat Tuhan. Ini kerana seseorang Mukmin yang bersyukur pasti akan terkesan pada perbuatannya. Nikmat dikurniakan pancaindera tidak akan disalahgunakan ke arah memudaratkan orang lain. Jadi, dalam hal vandalisme itu perlu dibendung dengan didikan rasa syukur kepada Allah. 

Dalam Surah Ibrahim ayat 7 Allah menegaskan yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." Ini satu amaran Allah kepada setiap hamba-Nya supaya mengelak daripada perbuatan mengingkari nikmat yang dikurniakan-Nya. Rasa syukur adalah akhlak hati yang mulia, tetapi ia seharusnya diterjemahkan melalui perbuatan nyata.

Oleh itu, sewajarnya semua pihak baik ibu bapa, apatah lagi golongan pendidik di sekolah memberi penekanan khususnya mendidik anak/anak murid perihal betapa penting sikap sentiasa bersyukur dengan menghargai nikmat adanya pelbagai kemudahan yang disediakan. 

Sesungguhnya, orang yang merosakkan harta benda awam atau terjebak dengan budaya vandalisme adalah golongan kufur nikmat dan tidak mempunyai rasa malu kepada Allah. Atas sebab itulah Islam meletakkan nilai malu di puncak akhlak seseorang Mukmin. Dalam Islam malu adalah cabang iman yang mesti sentiasa dipelihara setiap umatnya. 

Dalam memperkatakan aspek malu ini, Rasulullah SAW ada bersabda: "Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya di syurga, sedangkan buruk akhlak itu bahagian daripada kekerasan hati dan tempatnya di neraka." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Nabi kita berpesan yang bermaksud: "Malu dan iman kedua-duanya tidak terpisah. Jika salah satu daripada kedua-duanya terangkat, maka yang lain pun terangkat." (Hadis riwayat Hakim). Oleh demikian, orang Mukmin yang kental rasa malunya kepada Allah sudah tentu tidak tergamak untuk merosakkan harta benda kemudahan orang ramai kerana mereka tahu apa saja yang dilakukan diperhatikan Allah. Mungkin manusia tidak nampak apa kita lakukan, tetapi akhlak buruk tidak terlepas daripada pandangan Allah.

Sebenarnya apabila seseorang itu sudah tercabut rasa malu kepada Allah, ia adalah satu azab dunia yang ditimpa ke atas hamba-Nya. Ini kerana dengan sebab tiada lagi perasaan malu dengan mudahnya mereka lupa kepada Allah dan tidak lagi dapat menzahirkan akhlak yang baik. Maka akan berlakulah pelbagai gejala negatif seperti budaya vandalisme itu.

Seseorang Mukmin yang beriman pasti takut pada apa saja perbuatan yang dilakukannya di dunia ini kerana apa saja yang dilakukan akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Tidak ada satu perbuatan yang dilakukan anggota tubuh kita yang akan terlepas daripada perhitungan Allah di akhirat. Ingatlah peringatan Allah dalam Surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: "Pada hari itu Kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dulu mereka usahakan."

Bagaimana dengan salah laku merosakkan harta awam sehingga menyusahkan masyarakat untuk menggunakannya? Tidakkah ini juga dipersoalkan dan dibalas dengan azab Allah? Tentunya, seseorang yang cermat menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan niat kerana Allah agar ia dapat digunakan orang lain adalah amal soleh yang mulia. Inilah amalan hati yang baik yang diterjemahkan melalui anggota zahir.

Nabi kita ada berpesan yang pesanannya itu amat perlu kita didikkan kepada anak/anak murid kita. Pesanan Baginda: "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu, maka lapangkanlah mereka dengan keceriaan wajah dan kebaikan akhlak." (Hadis riwayat Al-Haitsami dan Abu Ya'la)

Kita amat mengharapkan kejayaan tinggi akan diperolehi oleh anak-anak kita dalam pelajaran, namun dalam masa yang sama usah sesekali kita abaikan bab adab dan akhlak kerana setinggi manapun pencapaian akdemik, andai tidak seiring dengan ketinggian dan kemuliaan adab, akhlak, ia tidak bererti. Tanamkanlah selalu dalam diri anak/anak murid agar sentiasa bersyukur atas nikmat Ilahi.

Semoga anak/anak murid kita menjadi insan yang memandang gejala vandalisme sebagai 'jenayah' yang perlu dihindari.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 6:00 AM