KEJAYAAN seseorang bermula daripada didikan guru di sekolah.
KEJAYAAN seseorang bermula daripada didikan guru di sekolah.
Mohd Rizal Azman Rifin

Kedudukan dan martabat kerjaya sebagai seorang guru begitu tinggi pada kaca mata masyarakat umum. Semenjak dahulu hingga masa kini, seseorang guru dilihat sebagai 'pahlawan' sepanjang zaman yang kekal berperanan utama menggerakkan agenda negara untuk melahirkan warga negara yang bukan sekadar celik huruf, namun berdaya minda dinamik selaras dengan era kemodenan.

Dulu, kini dan insya-Allah pada masa mendatang, kerjaya sebagai seorang guru amat diperlukan oleh negara. Hal itu tidak menghairankan kerana jumlah kemasukan murid ke sekolah sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Demikian juga dengan jumlah sekolah yang semakin banyak dibina di seluruh penjuru negara kita.

Guru bukan untuk hanya dihargai oleh anak bangsa sahaja kerana pada masa sama negara mengiktiraf golongan itu. Misalnya, Hari Guru yang disambut saban tahun pada 16 Mei adalah bukti jasa dan sumbangan golongan guru dihargai oleh semua pihak.

Sesungguhnya, guru bak matahari yang menyinari bumi. Golongn gurulah yang digalaskan amanah bangsa dan negara untuk membina masa depan penuh gemilang dengan menjadikan anak bangsa celik minda dalam menerokai pelbagai ilmu pengetahuan.

Sejarah perkembangan negara bertamadun tinggi yang wujud di sepanjang zaman terbangun hasil daripada perkembangan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakatnya. Contohnya, tamadun Yunani, Rom, Parsi, yang selanjutnya muncullah era kegemilangan tamadun Islam adalah cetusan daripada munculnya golongan cerdik pandai dan ilmuwan. Golongan itu pula terlahir daripada usaha dan berkat 'air tangan' guru.

Justeru, dalam kehidupan hari ini, sewajarnya anak yang berada di bangku sekolah sentiasa diasuh agar sentiasa menghormati guru mereka. Hal ini kerana telah banyak insiden yang kurang menyenangkan dalam hubungan saling menghormati antara murid dan guru. Sikap berkasar dengan tutur kata yang biadab, malah sehingga ada yang tergamak merosakkan harta benda sekolah jelas menunjukkan telah wujud budaya kurang adab dalam kalangan generasi muda hari ini.

Ibu bapa seharusnya sentiasa menasihati dan membimbing anak bukan sahaja dalam meminta mereka rajin belajar dan tekun menuntut ilmu sahaja kerana pada masa sama sentiasa memberitahu kepada anak bahawa guru adalah 'pahlawan' mereka yang sentiasa gigih berjuang memberikan ilmu pengetahuan. Jadi, menjadi kewajipan untuk murid sentiasa beradab dan hormati guru.

Untuk itu, seharusnya ibu bapa menyedari bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan: "Bukanlah dalam kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami." (Hadis diriwayat oleh Imam Ahmad)

Jadi, usaha ibu bapa membimbing dan meminta anak agar bertertib adab dan sentiasa menghormati guru, menepati apa disabdakan oleh baginda SAW itu. Yakinlah bahawa dengan adanya sikap beradab dan hormat kepada guru sahajalah maka segala ilmu yang dipelajari mendapat berkat. Percayalah, tiada berkat dalam biadab, sebaliknya hormat guru, berkat ilmu.

Masyarakat Islam terdahulu begitu menghargai dan meletak tinggi martabat golongan guru. Mereka bukan semata-mata mencari ilmu untuk mendapatkan ilmu, namun pada mereka yang lebih utama yang perlu didahulukan ialah belajar adab daripada ulama atau guru mereka. Hal ini jauh berbeza dengan senario masa kini yang mendahulukan ilmu daripada adab. Ketika tercetus sesuatu insiden yang membabitkan salah laku murid di sekolah mahupun di mana-mana institusi pengajian maka waktu itulah semua pihak seakan-akan terpanggil untuk memperkatakan soal adab dan susila murid.

Kita sangat perlu juga mengimbas kembali apa yang pernah diluahkan oleh Imam al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya Ulum al-Din. Di dalam kitabnya itu, Imam al- Ghazali ada mengungkapkan: "Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selama-lamanya."

Kata-kata imam terulung itu sekali gus menunjukkan betapa tingginya penghargaan yang diberikan oleh masyarakat Islam dahulu kepada guru yang tanpa jemu mencurahkan ilmu. Namun, senario murni sedemikian sudah berubah bersama berubahnya zaman dan era. Kini, fenomena memperlekehkan tugas dan peranan guru ketara dengan wujudkan budaya 'samseng' terhadap guru sendiri.

Abdulullah Ibn Wahb, iaitu murid Imam Malik pernah berkata: "Apa yang kami pelajari daripada adab Imam Malik itu lebih banyak daripada apa yang kami pelajari daripada ilmunya". Kata-kata murid Imam Malik itu menunjukkan bahawa murid atau pelajar pada zaman kegemilangan Islam dahulu begitu mengagungkan budaya beradab di samping sentiasa berlumba untuk menggali seberapa banyak ilmu daripada seseorang guru.

Di dalam Kitab al-Majmu', Imam Nawawi ada mencatat bahawa: "Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat daripadanya dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar daripada gurunya tersebut."

Sebenarnya, jasa dan budi guru terlalu agung dan sememang sukar untuk anak murid membalasnya. Jasa guru kekal bersebati dalam diri seseorang murid selagi hayat dikandung badan. Setinggi mana pun jawatan terkini yang disandang, dia bermula dengan 'suara keramat' mengajarnya dahulu.

Sehebat mana sekalipun seseorang usahawan sehingga menggunung kekayaan dapat dimiliki, dia juga tidak dapat lari daripada bayangan silam bahawa kehebatannya bermula dengan ketabahan guru mengajarnya dulu.

Jadi, marilah kita bersama mengucapkan 'Selamat Hari Guru,' 'Terima Kasih Cikgu.' Kepada semua guru di tanah air. Kita kalung seungkap doa - Semoga Allah membalas setiap usaha gigih cikgu semua dalam menjadikan anak bangsa celik huruf dan celik hati. Sesungguhnya, guru adalah 'pahlawan sepanjang zaman' yang mustahil dilupakan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 6:00 AM