Ayu Ting Ting berkongsi gambar berlatarkan KLCC di media sosial
Ayu Ting Ting berkongsi gambar berlatarkan KLCC di media sosial

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Indonesia, Ayu Ting Ting, 32, yang bercuti di sini mencuit hati ramai peminat Malaysia dengan gelagatnya cuba menggunakan bahasa tempatan.

Ayu atau nama sebenarnya Ayu Rosmalina juga mengakui memang seronok menikmati keindahan ibu kota serta lawatan ke Genting Highlands, Pahang, bersama keluarga tercinta.

"Tengah bercuti dengan keluarga. Cuti dah habis ni. Nanti kita melawat dan melancong lagi dekat Kuala Lumpur. Alhamdulillah, seronok bercuti dekat Malaysia," katanya.

Penyanyi yang mendapat jolokan diva dangdut itu turut dibanjiri komen daripada peminatnya di sini.

Rata-rata tumpang seronok melihat Ayu memilih melancong di Malaysia.

"Terima kasih Kak Ayu bercuti kat Malaysia. Jangan serik tau datang sini! Sayang teruk dengan Kak Ayu," komen seorang netizen.

"Wah Kak Ayu datang Malaysia sudah boleh cakap Melayu," kata netizen lain.

Ada juga yang terkilan tidak berpeluang berjumpa Ayu. Tidak ketinggalan, ada mencadangkan agar penyanyi itu datang mengadakan konsert pula selepas ini.

Pada Februari lalu, Ayu selamat bergelar tunang kepada lelaki berpangkat kolonel tentera, Muhammad Fardana mengakui pertemuan pertama mereka diatur keluarga.

Ibu tunggal anak satu yang memilih untuk merahsiakan tarikh pernikahan itu mengakui menerima cadangan berkenalan dengan lelaki itu pada awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:37 PM