Amar Baharin
Amar Baharin
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Tanah itu adalah hadiah perkahwinan daripada arwah datuk (ayah mak) kepada mak. Jadi, saya akan berusaha untuk dapatkan semula," kata pelakon Amar Baharin.

Menurut Amar, 39, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor sudah menjanjikan pemilikan tanah lot baharu kepada ibunya, Norhayati Abd Aziz, 62, sejak 2014.

Dakwanya, pihak terbabit seolah-olah bersikap lepas tangan apabila tidak memenuhi janji mereka sehinggalah dia berkongsi perkara itu di media sosial minggu lalu.

"Ada orang nampak ini isu kecil. Tetapi mak saya tidak ada banyak harta. Tanah itu satu-satunya harta pemberian arwah datuk kepadanya.

"Selepas dapat tahu tanah itu dijual kepada orang lain dan dijanjikan tanah lot baharu, sepanjang tempoh itu mak menunggu saja.

"Sudah 10 tahun dia menunggu. Takkan sebegitu lama PTG Selangor nak bertindak. Adakah disebabkan mak saya orang tua, mereka boleh diamkan begitu saja? Sebab itu, saya bersuara bagi pihak mak saya. Perkara ini kena diatasi agar ia tidak berulang kepada pihak lain.

"Apabila isu ini tular, ramai cakap kalau membabitkan artis cepat saja pihak terbabit jawab. Bagi saya, perkara sebegini hak semua rakyat untuk bersuara dan mendapatkan pembelaan sewajarnya. Bukan soal saya artis atau tak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tanah itu sudah dijual dan diduduki oleh orang Melayu.

"Sehingga semalam, tidak ada sebarang perkembangan dan kemas kini terbaru daripada pihak PTG. Mungkin esok saya tanya lagi sampai dapat jawapan.

"Secara peribadi, saya tak sanggup halau orang yang sudah duduk dan bina rumah atas tanah itu. Sebagai manusia, saya ada belas kasihan itu dan faham situasi dia yang mana mungkin tidak tahu apa yang berlaku ketika itu.

"Itu sebab kalau boleh nak bincang dengan PTG dan apa solusi terbaik untuk pihak mak saya.

"Kalau ditanya pada saya, kalau boleh gantikan dengan tanah yang setaraf apa yang sudah hilang itu," katanya.

Menurutnya, tanah berkeluasan 418 meter persegi yang terletak di Semenyih, Selangor itu dianggarkan sudah mencecah nilai lebih RM200,000.

Terdahulu, Amar berkongsi kisah tanah milik keluarganya yang mempunyai dua geran berbeza di media sosial untuk mendapatkan jawapan bagaimana ia boleh berlaku dan mempersoalkan ia kesilapan siapa.

Isu dibangkitkan Amar turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu PTG berkaitan melakukan siasatan menyeluruh membabitkan dakwaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 3:12 PM