Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO ASYRAF HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperkenalkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan hari ini bagi memacu misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan) untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata dasar julung kali diadakan ini mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, Lima Pemacu Perubahan dan Dua Pemangkin Dasar.

Menurutnya, dokumen kerangka dasar ini dihasilkan selepas mengambil kira maklumbalas pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, Town Hall dan portal kaji selidik dalam talian.

"Lebih 2,000 maklum balas diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini.

"Kerangka dasar ini merangkumi isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas, golongan kurang upaya (OKU).

"Selain itu ia juga merangkumi isu hal ehwal pekerja sektor gig, isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa dan pelancaran Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sim berkata, kerangka dasar ini seterusnya akan menjadi panduan bagi menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.

"Kesuma berharap akan menjadi antara kementerian pertama yang mempunyai dokumen dasar utama yang selaras dengan RMK-13 kelak.

"Dalam usaha Reformasi 100 Hari, Kesuma juga sudah melaksanakan 80 pembaharuan yang boleh dirangkumkan dalam empat tema utama iaitu; gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial lebih menyeluruh dan tatakelola lebih baik.

"Pada tahun ini Kesuma juga akan menyemak semula kadar gaji minimum. Kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60 peratus dari 2010-2019," katanya.

Sim berkata, kementerian sedar bahawa gaji minimum sahaja tidak memadai, terutama membabitkan golongan berpendapatan sederhana.

"Oleh itu bagi menambahbaik keadaan upah pekerja Malaysia ialah dengan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik.

"Projek rintis dasar gaji progresif yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka akan bermula Jun ini dengan sasaran 1,000 syarikat.

"Kerajaan Madani memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis ini dan dijangka 1.05 juta pekerja akan mendapat manfaat melalui pelaksanaannya," katanya.

Sim menambah, Kesuma sedar bahawa pampasan upah yang lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan yang lebih tinggi dan ia boleh dicapai dengan kemahiran yang lebih tinggi.

"Oleh itu tahun ini Kesuma akan 'go all out' (berikan sepenuh tenaga) untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi dengan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran.

"Terdapat pelbagai kursus dalam pelbagai bidang ditawarkan termasuk bidang kemahiran terkini seperti AI, robotik, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau "green skills" dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:41 PM