Ayu Ting Ting bersama ibunya.
Ayu Ting Ting bersama ibunya.
Agensi

Jakarta: Jangan main-main dengan Ayu Ting Ting.

Ini amaran daripada ibunya, Umi Kalsum yang mengambil tindakan terhadap mereka yang memburukkan nama anaknya di media sosial dengan membuat laporan polis.

Kisah penyanyi popular Indonesia, Ayu Ting Ting sebelum ini hangat diperkatakan di media sosial berikutan dakwaan seorang wanita dikenali sebagai AR yang juga peminatnya pernah dihalau Ayu ketika menghampirinya di sebuah kafe.

Kenyataan itu dikeluarkan AR dengan bahasa yang dirasakan kurang menyenangkan dan seperti dilebih-lebih tanpa mengetahui punca sebenarnya.

Ini membuatkan banyak pihak percaya dan menelan bulat-bulat hingga menjejaskan nama baik Ayu.

Ini menimbulkan kemarahan Umi Kalsum yang meluahkannya di media sosial dan seterusnya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Umi Kalsum menerusi Instagram @mom_ayting92_ kemudiannya memuat naik video ringkas AR meminta maaf di balai polis Pondok Gede, Bekasi, Jawa Barat.

"Saya (AR) meminta maaf kerana menghina Ayu Ting Ting dengan panggilan Japok (Janda Depok) dan mencemarkan nama Ayu dengan kenyataan yang tidak sesuai yang dikeluarkan bahawa saya diusir dari Dehalu cafe. Saya terima hukuman daripada pihak berkuasa dan akan bertanggungjawab atas perbuatan yang sudah saya lakukan. Saya memohon maaf kepada keluarga Ayu. Mohon dibukakan pintu maaf sebesar-besarnya. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini," katanya.

Bersama video itu, Umi Kalsum kelihatan masih melepaskan perasaan marah kepada AR.

"Semoga ucapan janji awak bukan di mulut saja, tapi sampai ke hati awak ya, apatah lagi awak seorang wanita dan tidak sepatutnya berkata begitu.

"Memang awak akan hidup abadi. Siapa yang mahu jadi janda? Orang tua mana yang tidak marah. Awak fikir saya main-main sehinggakan awak mencabar saya bawa kepada pihak polis. Silakan kerana ini yang awak minta sudah saya kabulkan," katanya.

Bagaimanapun, Umi Kalsum memberitahu Ayu tidak mahu memanjangkan kes ini dan memilih untuk memaafkan AR.

Keluarga Ayu juga memilih untuk menyerahkan AR kepada keluarganya.

"Untungnya Ayu masih ada hati untuk lepaskan awak yang mempunyai suami dan anak. Semoga ini menjadi pengajaran buat semua supaya jaga perkataan sebelum di bawa ke pihak berkuasa," kata Umi Kalsum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:23 PM