MOHD Alhafiz Ithnin memenangi Anugerah Media (Individu) sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Asyraf Hamzah
MOHD Alhafiz Ithnin memenangi Anugerah Media (Individu) sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Asyraf Hamzah
Redzuan Muharam

Putrajaya: "Anugerah itu adalah hadiah hari jadi saya pada 10 Mei depan dan lebih manis lagi apabila ia disampaikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri."

Demikian reaksi wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin, 38, yang melakar kejayaan selepas merangkul Anugerah Hari Pekerja kategori Media (Individu) sempena Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan Mohd Alhafiz membawa pulang plak penghargaan dan wang tunai RM10,000.

Berkongsi perasaannya, Mohd Alhafiz bersyukur dengan anugerah diterima yang dianggap sebagai pengiktirafan buatnya yang sudah 15 tahun menjadi pengamal media dan 13 tahun bertugas sebagai wartawan di Harian Metro.

Lebih membuatkannya terharu apabila menjadi penerima pertama anugerah kategori Media yang baru diperkenalkan tahun ini dengan penilaian juri juga dibuat berdasarkan pembabitan aktifnya dalam kegiatan sukan dan aktiviti sosial.

"Difahamkan, ada lebih 30 pengamal media menghantar penyertaan dalam kategori berkenaan yang baru diperkenalkan tahun ini.

"Alhamdulillah, rezeki saya apabila dipilih sebagai pemenang dan kejayaan ini adalah hasil laporan bersiri saya di Metro Ahad mengenai satu kajian peluang pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendedahkan golongan itu didiskriminasi oleh majikan dalam pemilihan pekerja.

"Laporan itu idea saya sendiri dan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan cabarannya menghasilkan 17 berita daripada 17 sumber yang ditemubual.

"Banyak data dan undang-undang pekerjaan Malaysia saya perlu baca selain faham isi jurnal juga kajian OKU serta diskriminasi dalam sektor pekerjaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Alhafiz berkata, kemenangan itu tentunya menjadi pembakar semangat buatnya untuk menghasilkan laporan lebih berkualiti di akhbar Harian Metro yang bukan hanya mendapat pengiktirafan di dalam malah peringkat antarabangsa.

"Anugerah ini bukti Harian Metro mampu mengekalkan pemberitaan yang berkualiti.

"Bagi saya, ia bukan sekadar penghargaan tetapi cabaran perlu disahut pengamal media dalam menghasilkan berita terbaik dan memperjuangkan nasib masyarakat khususnya golongan terpinggir," katanya.

Sambutan Hari Pekerja 2024 mengangkat tema 'Pekerja Kesuma Bangsa' dan sebanyak 12 kategori anugerah termasuk dua kategori baharu iaitu Anugerah Penjawat Awam dan Media (Individu) baru diperkenalkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:41 PM