Shuhada bersama dua anaknya.
Shuhada bersama dua anaknya.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Itu fitnah yang berat. Individu (pemilik akaun palsu) itu mendakwa saya jual diri untuk hidup senang macam sekarang," kata bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada ketika diminta mengulas penyebaran pelbagai fitnah tentang dirinya di media sosial.

Kata Nurul Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, fitnah yang dilemparkan itu juga mencalar maruah dan martabatnya sebagai wanita dan ibu kepada dua anaknya.

"Saya berasa sangat terhina bila individu (akaun palsu) terbabit juga mendakwa saya goda suami orang.

"Saya sendiri pernah rasa bagaimana sakitnya bila suami disondol wanita lain. Tidak mungkin saya nak buat perkara sama kepada orang lain pula?

"Saya juga ada hajat besar untuk minta kepada Allah SWT dan saya takut hendak menipu atau buat perkara yang salah kerana bimbang nanti doa tidak dikabulkan," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai fitnah lagi, kata Nurul Shuhada, dia sudahpun membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 29 April lalu selepas mendapat nasihat dari peguam.

"Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini. Saya juga tidak teragak-agak untuk dedahkan dalang di sebalik penyebaran fitnah berkenaan," katanya.

Kata Nurul Shuhada lagi, dia juga percaya individu yang menjadi dalang penyebaran fitnah terhadapnya di media sosial adalah orang yang kenal rapat dengannya.

"Individu terbabit seperti tahu semua tentang saya. Kalau tiada kaitan bagaimana dia tahu maklumat terperinci seolah-olah dia mengetahui pergerakan saya?

"Selama ini, saya hidup tenang sahaja dan kenapa sekarang ada yang nak ganggu pula. Justeru, lebih baik saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk selesaikan," katanya.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Bagaimanapun, pada 22 Februari tahun lalu Hafidz dilaporkan, melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing, sebelum Nurul Shuhada memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 28 Februari tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Humairah, 7 dan Umar, 4 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 3:03 PM