DATUK Red dalam satu perkongsian di TikTok.
DATUK Red dalam satu perkongsian di TikTok.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Usahawan Datuk Red, 43, terharu kisahnya tular mahu bangkit kembali mendapat perhatian beberapa individu untuk menawarkannya mulakan kembali perniagaan.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan tersentuh individu terbabit sanggup buka jalan dan letak kepercayaan terhadapnya meskipun baru saja berkenalan.

"Saya pun baru kenal dia tapi alhamdulillah ada orang di Malaysia ini baik. Dia bagi keyakinan kepada saya, kalau boleh bagi saya terus bermula saja. Dia tak boleh bagi sejumlah besar wang terus, tapi saya pun tak minta begitu. Saya nak berusaha naik sendiri.

"Nampak caranya ikhlas ingin menolong saya. Dia buka jalan untuk saya meniaga, teruskan niat, bayar hutang. Sebab dia pernah ditimpa nasib sama dan mengalami situasi sama.

"Saya memang sudah ada perancangan untuk buat perniagaan. Tunggu saja sedikit hari lagi. Insya Allah, ada jalannya. Sebab hutang saya berjuta, kena fikir angka pendapatan semula setimpal," katanya kepada Harian Metro.

Suami kepada penyanyi Adira Suhaimi itu juga berharap diberi masa untuk melunaskan hutang-hutangnya. Apalagi, selepas kisahnya tular, ramai pemiutang lepaskan kemarahan terhadapnya.

"Saya nak fokus membayar hutang-hutang lama saya. Memang betul salah saya tapi sudah lama itu jugalah saya cuba bangun, cuba bangkit tapi tak berjaya. Saya masih ada kat sini. Orang akan cakap itulah ayat-ayat 'scammer' tapi tidak apa, ada masa saya naik nanti, saya akan jelaskan semua.

"Itu niat saya nak kerja. Kalau marah-marah dan kata nak jumpa, ketuk saya, buatlah. Namun apa yang terjadi tujuh tahun lalu, saya tak boleh nak ulang. Hal ini sudah tertulis.

"Paling tidak, bagilah saya tempoh sekurang-kurangnya lima tahun untuk jelaskan semua. Saya tak pernah menafikan pun ada hutang. Saya tahu mereka sekarang marah cakap acah-acah kasihan," katanya.

Sementara itu, mengulas isu isteri pertamanya Datin Red mempersoalkan dia tidak menyebut kebaikannya kepada pihak media, dia akui menyesal apabila terlanjur cerita kisah rumah tangga.

"Masa hantaran itu tular, saya memang sudah tiada berkomunikasi dengan kedua isteri saya. Saya nak bertenang dulu. Saya pun sudah terangkan di TikTok sebab tak sebut nama misalnya, semua ada di situ.

"Oleh kerana saya cerita ke khalayak, penjelasan pun kena buat di khalayak. Selepas ini, saya tak mahu bercerita sudah. Hal rumah tangga ini, jangan dicanang-canang, simpan sajalah.

"Hal ini semua boleh selesai, kadang salah faham sedikit saja. Biasalah hal berkecil hati ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:42 PM