Dr Erin
Dr Erin
Najiy Jefri


BEKAS isteri pendakwah bebas, Da'i Farhan iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, atau Dr Erin yang diceraikan pada 27 April lalu mengesahkan dia kini hamil tiga minggu.

Erin ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu termasuk perceraiannya dengan Farhan.  

"Usia kandungan masih baru iaitu tiga minggu. Saya belum bersedia nak ceritakan mengenai perceraian dan kehamilan secara terperinci. Nantilah, apabila sudah bersedia saya akan kongsikan," katanya.

Menurut Erin, segala penjelasan mengenai pernikahan dan perceraiannya dengan Farhan sudah dijelaskan dalam Instagram.

"Saya sudah jelaskan semuanya di Instagram. Cukuplah, saya tidak mahu memberi kenyataan lagi," katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian Erin di Instagram, dia mendakwa selepas kisah perkahwinan mereka tular, pelbagai pihak mula bersuara hingga ada yang mula melancarkan komplot untuk melihat dia dan Farhan bercerai.

"Selepas ia tular, kami dikecam maha hebat oleh semua orang. Jika saya tahu ini yang akan saya dapat apabila bernikah dengan Farhan, sumpah saya tidak mahu terima lamarannya.

"Orang yang menularkan kisah kami adalah kawan baik madu saya sendiri. Sudah tentu ini menjejaskan hubungan kami bertiga. Dia pernah ajak saya berjumpa tetapi Farhan tak izinkan. Saya nak beritahu, walaupun selepas kisah kami tular, Farhan tak ada terfikir untuk bercerai dengan madu saya. Walaupun dihina dimaki kami cuba sabar tapi kami hanya manusia biasa.

"Kami juga diuji dengan perasaan marah apabila kami tahu ada cubaan dari beberapa individu untuk mencari segala aib saya dengan tujuan memburukkan saya kepada semua. Bagaimana kami tahu komplot jahat ini adalah daripada telefon madu saya sendiri. Farhan berjaya merampasnya dan ada banyak mesej perbualan mengenai perkara ini.

"Berlaku campur tangan orang luar termasuk mentua Farhan yang memaksanya menceraikan anak mereka," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Farhan bagi mendapatkan reaksinya berhubung dakwaan ini tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak dijawab dan mesej WhatsApp tidak dibalas.

Berita berkaitan

  • Da'i Farhan sudah ceraikan Dr Erin
  • Erin tak tahu perkahwinannya tak dapat restu isteri farhan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 5:14 PM