LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi, 32, iaitu Datuk Red, 46, terpaksa menolak malu untuk meminta kerja menerusi TikTok selepas lima tahun bergelut masalah pendapatan selain berhutang keliling pinggang.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka hantarannya itu menjadi tular dan bimbang dengan perasaan anak-anak apabila mendapat tahu mengenainya.

"Sekarang ia sudah tular. Sebelum ini pengikut saya di TikTok enam orang saja. Bila kongsi hantaran itu, tak tahu pula tular. Risau pula anak-anak bila besar dapat tahu bapanya minta sedekah.

"Niat saya memang nak cari kerja tapi tak adalah sampai tular begini. Anak-anak pun ada akaun TikTok, hantaran itu pun akan lalu juga. Itu yang segan kat situ. Saya harap anak-anak saya fahamlah sebab saya minta kerja.

"Saya kuat ini pasal anak-anak saja. Orang rumah dan yang terdekat dengan saya memang tahu saya takkan pernah berkira dengan anak-anak. Saya akan dahulukan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang ada mendedahkan turut bergantung harap dengan Adira enggan terus menjadi biawak hidup. Katanya, kini dia harus mencari pendapatan terutama untuk persiapan Aidilfitri anak-anak.

"Sekarang pun saya masih pusing-pusing cari kerja lebih-lebih lagi nak dekat raya ini. Saya tengah kuatlah cari rezeki untuk anak-anak.

"Adalah juga orang kirim mesej peribadi nak bagi sumbangan. Saya kata tak payah, saya bukan itu sebab saya nak minta kerja. Misi untuk terdekat ini nak cari peruntukan untuk keperluan raya anak-anak dulu.

"Selepas itu, baru saya fikir bagaimana cara nak bayar hutang-hutang terlalu lama itu. Saya nak duduk menyorok, tak bolehlah. Saya kena ke depan, lantaklah orang nak cakap apa, kena teruskan hidup," katanya.

Katanya, dia juga malu terpaksa berhutang dengan rakan-rakan terdekat. Selain itu, dia juga ada meminta pertolongan rakan terdekat untuk mendapatkan pekerjaan.

"Pinjam RM100, RM200, sekali dua bolehlah. Tapi kalau kerap, kadang-kadang saya sendiri pun kalau tengok panggilan telefon orang, akan takut nak angkat. Kawan-kawan pun ada keluarga sendiri kan.

"Lingkungan kawan-kawan saya bukannya yang senang-senang. Saya tak pandai nak berkawan dengan yang kaya-kaya. Ada jugalah yang saya kenal, cubalah minta tolong untuk kerja.

"Contoh baru-baru ini, minta tolong jual baju Melayu daripada seorang kawan. Tapi saya faham sajalah tak ada rezeki," katanya yang sudah diisytiharkan bankrap sejak 2019.

Menurutnya, sudah lima tahun dia melakukan bermacam-macam perniagaan tetapi tidak menjadi. Namun, dia masih tidak berputus asa untuk terus menceburi bidang perniagaan.

"Tak ada yang sangkut. Sejak menjadi ahli perniagaan, tempoh lima tahun ini memang bergelut betullah. Sebelum itu, saya boleh bangkit semula lagi. Macam-macam saya cuba.

"Bila sudah berdepan kekangan modal, memang susah. Saya ini pun jiwa memang dengan perniagaan. Hutang pun saya boleh selesaikan dengan perniagaan juga," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Red mengakui fikirannya sangat kusut tetapi bersyukur kerana masih kuat pegangan untuk meneruskan perjuangan hidup.

"Kalau ikut bab mental, memang 'down' gilalah kan. Penat memikir hal dunia ini. Tak habis-habis, letih. Ada saja masalah, tak tahu nak buat macamana dah. Itu yang malu belakang kiralah," katanya.

Terdahulu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, memfailkan perceraian terhadap Adnan kerana tiada lagi persefahaman pada 25 Oktober tahun lalu.

Disusuli isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim memfailkan perceraian penghujung Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:58 PM