Datuk Red
Datuk Red
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Ahli perniagaan, Datuk Red, 46, tidak menduga betapa kisah dirinya yang kini muflis cukup menjadi perhatian dan tular di media sosial kerana ramai bersimpati dengan nasibnya.

Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu berkata, dia sebenarnya tiada niat untuk mencipta populariti daripada kisah peribadinya melainkan video dibuat di TikTok itu bertujuan ingin mencari kerja bagi mendapatkan wang.

"Allahuakhbar, saya pun tak tahu (kini jadi perhatian ramai), saya tak minta ini semua (populariti) sebab ini bukan drama daripada saya, tak ada!

"Saya juga tidak pernah menganggap apa yang dilalui ini adalah kifarah. Memang saya akui ini sebenarnya bukan dugaan, tapi balasan kepada diri saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Datuk Red, dengan peluang diperolehnya, dia kini mahu memberi fokus pada jualan baju raya dan kuih raya, malah mensasarkan dapat menjual sebanyak 20,000 balang kuih raya.

"Saya juga baru sedar betapa aplikasi TikTok ini banyak membantu apabila saya boleh dapat cari 'gift' dalam 5,000 hingga 10,000 sehari ketika bersiaran langsung.

"Apa yang saya buat sekarang pun, saya hanya fikir untuk anak-anak, keluarga dan menebus hutang. Sebabnya, baki sisa kehidupan saya ini sudah tidak lama, jadi sampai bila saya nak begini.

"Ini nasib baik Allah beri saya peringatan tengah masih bernafas lagi, kalau dah 'tiada,' macam mana saya nak selesaikan semua," katanya mengakui tidak terlalu memikirkan maruah sendiri.

Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi Adira Suhaimi berkata, dia sudah lama memendam masalah yang dihadapi itu dan pernah cuba bekerja di belakang tabir, sekali gus tidak menjadi 'biawak hidup' yang ditanggung oleh isteri saja.

"Selama lima tahun muflis ini, saya sebenarnya ada juga buat kerja, berusaha. Tapi, hutang saya pula berjuta, jadi saya kenalah usaha mendapatkan pulangan pendapatan yang besar," katanya.

Selain dihimpit masalah kewangan, Datuk Red juga mengakui berhadapan kes tuntutan perceraian daripada dua isterinya iaitu Adira dan Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 1:46 PM