WANI yang sarat hamil anak sulung berkongsi video di TikTok dia mencium bau tayar disebabkan mengidam.
WANI yang sarat hamil anak sulung berkongsi video di TikTok dia mencium bau tayar disebabkan mengidam.
Redzuan Muharam


Baling: Lain orang, lain tabiatnya ketika hamil. Begitu juga buat wanita dikenali Wani yang kisahnya tular di media sosial kerana mengidam untuk mencium bau tayar.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Wani memuat naik videonya mencium tayar di TikTok dan sehingga kini sudah ditonton lebih 419,000.

Berkongsi kisahnya, Wani yang hamil sulung berkata, keinginannya mencium tayar sejak minggu lalu dan baru dapat dipenuhi selepas suaminya, Syafiq membawa dia ke bengkel motosikal, semalam.

Menurut Wani, pada mulanya Syafiq menghalang dia daripada menghidu tayar kerana kandungan bahan kimia yang boleh membahayakannya.

"Tapi saya pujuk suami dan beritahunya yang saya nak ambil bau saja.

"Tak sampai lima minit cium pun dan tak sehingga beli pun. Cuma tauke kedai minta kami bawa balik (tayar) rumah dulu kemudian pulangkan apabila sudah berpuas hati.

"Namun saya kembalikan tayar itu kerana tak nak ada kesan buruk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Wani berkata, dia tidak sangka video itu tular, kerana tujuannya memuat naik sekadar suka-suka dan tidak berniat untuk mengaibkan diri sendiri.

"Cuma biasalah, reaksi netizen bercampur baur, ada positif dan sebahagiannya ada yang kecam.

"Tapi saya jenis tak ambil kisah pun kerana bukan nak viral, cuma nak lepaskan mengidam yang pelik itu.

"Semoga mereka yang diuji dengan pasangan mengidam pelik bersabar dan mohon doakan saya kerana kini sedang menghitung hari untuk bersalin," katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 9:51 PM