Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Ahli perniagaan yang kini muflis, Datuk Red, 46, meminta pihak yang mendakwa sudah menjadi mangsa penipuannya dalam urusan jual beli tanah sebelum ini agar bersabar dan bertenang kerana dia masih berusaha mencari duit.

Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu dihubungi berkata, dia perlu masa untuk menyelesaikan semua hutang itu serta mensasarkan ada 'berita baik' untuk mangsa terbabit selepas sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Dalam video saya di TikTok itu, saya tak ada kata pun saya tak ada hutang dengan orang. Niat saya keluar ini (buat video TikTok) selain mencari rezeki untuk anak-anak, memang niat saya nak melunaskan hutang.

"Sekarang ini memang masanya saya minta yang mana saya ada hutang dan apa semua agar bertenang, bersabar dulu, bagi saya peluang. Kalau kita ikutkan hati masing-masing nak marah, nak gaduh pun tak ada penyelesaiannya.

"Jadi, semua ambil tempoh bertenang, bagi saya buktikan dulu. Benda ini (pendedahan video TikTok) tak sampai seminggu lagi. Memang saya 'target' (sasar) lepas hari raya nanti memang ada berita baik untuk mereka semua," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Datuk Red yang juga suami penyanyi Adira Suhaimi tular di media sosial selepas muncul membuat pendedahan dirinya yang sudah muflis sejak 2019, termasuk lima tahun tidak bekerja dan ditanggung isteri.

Menurutnya, pendedahan video di TikTok yang dibuat itu juga tidak bermaksud hendak meraih publisiti dan jadi tular sebagaimana berlaku sekarang, tapi lebih kepada ingin mencari kerja bagi mendapat pendapatan menyara keluarga dan melunaskan hutang.

"Sabar saja dulu, bertenang. Saya tak akan lari. Kalau saya lari, saya takkan mengaku dalam video itu. Saya pun tak tujukan salah kepada orang lain, saya memang akui semua salah saya sendiri," katanya.

Difahamkan ramai mangsa penipuan mula munculkan diri mendakwa ditipu Datuk Red dalam urusan jual beli tanah berkenaan di aplikasi X sehingga kecoh sebaik video TikTok lelaki itu tular.

Kini, Datuk Red bersyukur mendapat rezeki menjadi model baju Melayu untuk gedung pakaian terkemuka, termasuk ditawarkan pekerjaan oleh jenama kambing perap popular dan pada esok (Isnin) akan menjual kuih raya di TikTok.

"Saya bersyukur Allah berikan kesedaran kepada saya sekarang ketika masih hidup dan bernyawa ini untuk saya berusaha kerja semula bagi mendapatkan pendapatan untuk melunaskan hutang-hutang saya yang banyak selain menyara keluarga," katanya.

Datuk Red juga mengakui dia umpama 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila turut berhadapan kes tuntutan perceraian daripada dua isterinya iaitu Adira dan Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:10 PM