Zahid.
Zahid.
Ridzuan Abdul Rahman


Cyberjaya: "Saya faham asam garam jadi selebriti. Dia ada naik dan turun, macam bisnes juga. Saya tahu saya bukan dalam tahap terbaik dalam industri seni.

"Itulah sebabnya saya buat kerja lain dulu seperti sertai band yang ada nama untuk teruskan karier nyanyian saya."

Demikian kata penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid mengulas popularitinya yang semakin suram dalam industri seni tanah air sekarang.

Zahid atau Ahmad Zahid Baharudin, 43, berkata, dia menyedari popularitinya semakin tenggelam dan perlu mencari formula untuk kembali mendapat tempat di hati peminat.

"Saya sentiasa cari jalan untuk mendekati peminat antaranya aktif di media sosial TikTok. Instagram dan Twitter. Dekat situ saya akan jumpa peminat lama dan juga yang baru.

"Saya sekarang sebat (ambil) sahaja semua tawaran yang datang termasuk menyanyi di majlis kahwin. Apa yang ada, jalan. Sebab nak popular boleh dan senang tapi nak bertahan itu yang 'struggle'.

"Sebagai penyanyi saya nak bertahan dalam karier. Itu yang saya tengah buat sekarang," katanya ditemui pada sidang media Tribute To Sudirman Hj Arshad & Celebrity Hub, di sini, baru-baru ini.

Zahid yang tampil mengacara sidang media terbabit berkata, dia berhasrat menyertai dan bersaing dalam Gegar Vaganza (GV) sekiranya diberikan peluang.

"Setakat ini tiada tawaran lagi. Kalau ada tawaran okeylah. Dah tentu saya akan ambil. Sebab kita tahu GV salah satu pentas yang orang kata boleh bantu karier kita.

"Saya nak bertahan tapi populariti dah perlahan. Sekurang-kurangnya GV boleh naikkan nama saya. Memang rasa rindu nak beraksi di atas pentas.

"Sebenarnya sekarang saya menyanyi dengan kumpulan Sons of Adam di sebuah kelab di Kuala Lumpur pada setiap Ahad sejak enam bulan lalu," katanya.

Sementara itu, dua program membabitkan usahawan kecil dan sederhana berkaitan Sudirman akan berlangsung dari 14 sehingga 23 Julai, manakala program Tribute Sudirman pula akan diadakan pada 21 sehingga 23 Julai.

Turut diadakan Hari Rock Negara pada 15 dan 16 Julai di mana Zahid akan beraksi dengan kumpulan Sons of Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:23 PM