ZAHID diiringi duo Viral menyanyikan lagu Biasa bagi menghiburkan tetamu.
ZAHID diiringi duo Viral menyanyikan lagu Biasa bagi menghiburkan tetamu.
 DJ Fuzz (dua dari kiri) menghasilkan lagu Biasa untuk Zahid.
DJ Fuzz (dua dari kiri) menghasilkan lagu Biasa untuk Zahid.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Penyanyi yang memilih kerjaya sampingan sebagai penyampai radio terpaksa berdepan hakikat lagu nyanyian mereka sukar diputarkan di stesen pesaing.

Tempiasnya turut dirasai Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid yang tampil dengan single terbaru, Biasa dan kerana itulah bekas juara Akademi Fantasia itu nekad menamatkan khidmatnya sebagai penyampai Era FM.

Ditemui pada sidang media baru-baru ini, Zahid, 35, berkata dia tidak mahu mengambil risiko dan mengikut langkah Aril Pilus menumpukan perhatian pada bidang nyanyian.

“Ramai peminat bertanya bila muncul dengan lagu baru. Ia buat saya terfikir apa minat sebenar saya.

“Pernah juga terlintas di hati untuk buat single. Sambil itu, saya bersabar dan berdoa agar impian ini dipermudahkan. Alhamdulillah peluang terbuka depan mata apabila sebuah syarikat sudi terbabit dengan kempen single Biasa.

“Saya ambil keputusan berhenti pada April lalu dan tawaran itu hadir pada saat akhir,” katanya.

Zahid teruja apabila mengetahui lagu itu dihasilkan Dj Fuzz dan sukakan hasilnya.

“Saya harap stesen radio sudi memutarkan Biasa kerana saya bukan lagi deejay. Saya tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap single ini dan harap mereka suka.

“Mereka masih ingat dengan lagu Milikku dan Cek Mek Molek. Ada yang berpesan jangan nyanyi lagu hip hop lagi. Sebenarnya, saya tidak menyesal kerana semua sudah tertulis,” katanya.

Zahir turut berkongsi perasaan sedih apabila terpaksa meninggalkan Era FM yang banyak memberi pengalaman manis dalam hidupnya. Sepanjang empat tahun bertugas di stesen radio berkenaan macam-macam ilmu dan pendedahan diperoleh.

“Saya terima tawaran Era kerana pengaruh mereka sangat besar. Saya sibuk dengan kerjaya baru ini terlupa matlamat asal saya masuk dalam industri iaitu kembangkan bakat sebangai penyanyi.

“Sedih apabila terpaksa berpisah dengan rakan deejay terutama Adi Fashla. Kenangan bersamanya sukar dilupakan,” katanya.

Zahid yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman SRC berjanji menghasilkan album yang memenuhi citarasa peminat.

“Saya pernah cuba hip hop dan urban R&B. Dulu saya terikat dengan pengurusan Maestro dan pembikinan album saya seperti tangkap muat.

“Album kedua yang berjudul Baru 08 tidak mendapat sambutan dan Maestro pula ditutup membuatkan karier saya jadi tak menentu.

“Kini saya utamakan selera peminat. Sebagai bekas penyampai radio, saya tahu lagu apa yang disukai pendengar.

Kebanyakan pendengar adalah pengguna kenderaan dan mereka tidak mahu lagu yang serabut. Biasa sebuah lagu yang ringkas,” katanya.

Utamakan keluarga

Zahid gembira apabila dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga tersayang. Kehadiran anak pertama, Zareef Nufael yang kini berusia tujuh bulan menjadi pelengkap rumah tangga yang dibina bersama Sarah Julifa Yusof pada 2013.

“Saya dapat melihat Zareef membesar depan mata dan bersedia untuk tambah anak. Kalau boleh saya mahu empat anak.

“Demi kebagiaan keluarga, saya menambah pendapatan dengan menjadi ejen pelaburan. Saya mengikuti latihan dan ambil ujian untuk mendapatkan lesen.

“Saya sentiasa menggalakkan rakan artis buat simpanan. Skim pelaburan ini ibarat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada kami.

“Alhamdulillah mereka beri reaksi positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:06 AM