ZAHID. FOTO ArkiB NSTP
ZAHID. FOTO ArkiB NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Zahid Baharudin, 44, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan pautan aplikasi tertentu dan tidak sesekali menghubungkannya dengan akaun bank bagi mengelak menjadi mangsa 'hacker' (penggodam).

Zahid atau Ahmad Zahid Baharudin dihubungi berkata, isterinya, Nurul Shuhada Osman, 29, kehilangan wang sebanyak RM4,250 di dalam bank akaunnya menerusi satu pautan aplikasi popular yang digunakan ramai orang.

"Habis licin duit isteri saya sebanyak RM4,250 dalam akaun bank miliknya yang juga gaji pertama diperoleh di tempat kerja baharu, di sebuah kedai karpet.

"Dengan duit itu juga, kami nak beli baju raya sebab tak beli lagi, tapi satu sen dah tak ada. Dia (hecker) ambil semua kali ini, tak bagi peluang langsung," katanya memaklumkan kejadian itu berlaku pada malam Jumaat, lalu.

Zahid berkata, dia dan isteri juga terpaksa melupakan hasrat mereka untuk balik beraya ke Pulau Pinang pada raya Aidilfitri ketiga walaupun sudah membeli tiket penerbangan dan tiket bas untuk balik ke Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, isterinya memilih menghubungkan akaun bank dengan 'pautan aplikasi' itu bagi memudahkan urusan dalam talian, namun tak sangka pula kawalan keselamatan pengguna untuk pautan aplikasi itu sangat lemah.

"Isteri saya juga baharu perasan, wangnya dalam akaun bank ada hilang sedikit-sedikit sejak beberapa bulan lalu. Tapi, itulah benda dah berlaku dan laporan polis juga sudah kami buat.

"Setakat ini, pihak pengendali pautan aplikasi terbabit sudah menghubungi saya dan mereka mahu bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini. Diharapkan semoga dapatlah semula duit isteri saya yang hilang itu walaupun hanya separuh saja," katanya.

Menurut Zahid, menerusi pendedahan dibuatnya di media sosial menunjukkan ramai netizen yang meninggalkan komen pernah menjadi mangsa kehilangan duit mereka melalui pautan aplikasi popular terbabit.

Terdahulu, menerusi hantaran video di akaun TikTok dan Instagram miliknya, Zahid meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan kejadian menimpa isteri, Nurul Shuhada yang kehilangan semua wangnya di dalam akaun bank.

Bekas juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu berkata, dia sudah tiada 'mood' memikirkan persiapan sambutan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi selepas apa yang berlaku itu.

Zahid bertemu jodoh kali kedua dengan Nurul Shuhada pada Disember 2021 lalu dan hingga kini mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Menerusi perkahwinan lalu Zahid mempunyai seorang anak lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 3:23 PM