ZAHID.
ZAHID.
Nor Akmar Samudin


Ahmad Zahid Baharuddin, 36, atau Zahid rela berkorban meninggalkan posisinya sebagai penyampai radio Era FM kerana mahu memastikan single terbaru berjudul Biar Aku Yang Tahu dapat mengembalikan kedudukannya sebagai penyanyi terkenal tanah air.

Apabila dia terikat dengan sesebuah stesen radio, sukar untuk lagu itu diputarkan.

Zahid tidak kesal meninggalkan jawatan bergaji tetap kerana jiwanya masih mencintai dunia nyanyian.

“Jika ada tawaran selepas ini, saya bersedia menjadi penyampai radio semula tetapi buat masa ini mahu fokus bidang nyanyian.

“Karier saya bermula sebagai penyanyi dan mahu teruskannya. Saya sedar kena bekerja keras kerana tiada lagi gaji bulanan.

“Single ini bukan sekadar untuk kepuasan diri tetapi juga atas permintaan peminat. Saya jadi serba salah apabila peminat selalu bertanya mengenai lagu baru. Diharap mereka berpuas hati dengan single ini,” katanya.

Bercakap mengenai kematangan dalam berkarya jelas Zahid, dia kini lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya. Apatah lagi dia sudah berkeluarga dan dikurniakan cahaya mata, Zareef Nufael yang kini berusia setahun tujuh bulan.

“Bukan saja pertambahan usia mengubah hidup saya tetapi selepas berkahwin banyak perubahan berlaku pada diri ini.

“Andai ketika masih solo dulu rutin saya tidak teratur, sekarang segala-galanya lebih tersusun. Kehadiran Zareef membuatkan hidup saya lebih bererti,” katanya.

Ujar Zahid lagi, selepas meninggalkakan Era FM, pelbagai pihak mula memanggilnya menjayakan persembahan dan lagu Biar Aku Yang Tahu turut diputarkan di kebanyakan stesen radio.

Jika artis lain ligat menceburi pelbagai cabang bisnes, lain pula Zahid apabila tidak berminat mengikut trend itu.

“Saya tak mahu buat kerja terburu-buru atau mengikut orang. Buat apa pun kena ada ilmu baru boleh berjaya.

“Setakat ini, saya fokus menyanyi saja dan belum ada perancangan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:15 AM