Muna Shahirah bersama dengan Sean Abdullah.
Muna Shahirah bersama dengan Sean Abdullah.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selain menjadi cabang pendapatan lumayan buatnya kini, platform 'streamer' juga mempertemukan penyanyi, Muna Shahirah dengan bakal suaminya dikenali, Sean Abdullah, 25. 

Muna, 28, ditemui berkata hampir tiga tahun rapat dan menyulam cinta dengan Sean sejak 2020 lalu selepas saling mengenali di lapangan 'streamer', dia tidak menyangka ada jodoh antara mereka.

"Sean berbangsa Cina dan dia baru memeluk Islam, awal tahun ini. Sekarang, kami dalam proses membuat persiapan perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Saya bersyukur kami bakal berjodoh bersama. Alhamdulillah, antara pihak keluarga kami juga menerima hubungan ini dengan baik dari mula berkenalan hinggalah sekarang semuanya lancar," katanya kepada Harian Metro.

Muna berkata, bagi persediaan sambutan Aidilfitri tahun ini, dia lebih fokus pada persiapan majlis perkahwinannya dan boleh dikatakan kira-kira 80 peratus sudah siap dibuat.

Mengulas mengenai majlis pertunangan, Muna berkata dia dan Sean sepakat tidak bertunang. Katanya, dengan izin keluarga mereka akan meneruskan pada majlis 'wajib' iaitu pernikahan yang paling penting.

Ditanya mengenai karier nyanyiannya pula, Muna berkata dia gembira terus mendapat peluang merakamkan lagu baharu dan bakal muncul dengan lagu solo tidak lama lagi.

Sebelum ini, Muna yang juga bintang Akademi Fantasia (AF) 2014 dikenali dengan lagu Teguh Setia, Suratan Luka, Bagaimana (duet Zack Zakwan), Bukan Milikku dan terbaharu, Cinta Hanya Buatan (duet Afieq Shazwan)

Terdahulu, Muna ditemani Sean hadir pada majlis berbuka puasa sempena pelancaran lagu raya terbitan FMC Music iaitu Terpaling Di Hari Raya, Wira Raya dan Rindu Di Hari Lebaran di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Lagu Terpaling Di Hari Raya dinyanyikan Muna, Afieq Shazwan, Wany Hasrita, Tajul, Wani Syaz dan Tuah Adzmi, manakala lagu Wira Raya menggandingkan trio iaitu Muna, Wany Hasrita dan Wani Syaz serta lagu Rindu Di Hari Lebaran menampilkan Datuk Jamal Abdillah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 11:27 AM