SYUKUR rezeki Allah, karier nyanyian Afieq makin menyerlah.
SYUKUR rezeki Allah, karier nyanyian Afieq makin menyerlah.
Norhayati Nordin


MEMULAKAN langkahnya dalam karier seni sejak kanak-kanak pada 2008, ternyata ia membuahkan hasil buat Afieq Shazwan ketika ini. Diam tak diam, kini usianya sudah mencecah 25 tahun.

Bukan lagi anak kecil dan remaja yang masih lagi mencari-cari arah hidup, Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, hanya mahu mensyukuri segala rezeki yang datang.

Namun, melalui pengalaman bencana banjir yang melanda kawasan kediamannya di Klang, Selangor pada 18 Disember, tahun lalu, penyanyi lagu Lelaki Di Telefon ini mengakui dia kini trauma dengan hujan dan bunyi guruh.

"Sejujurnya kalau nak cakap pasal trauma, memang ada sedikit terutama ketika hujan atau bunyi guruh. Rasa bimbang di hati akan muncul walaupun terkawal sebab kena berjaga-jaga.

"Namun, saya tak fikirlah sampai nak berpindah ke tempat lain kerana rumah itu sudah didiami sejak kecil. Malah mama saya, Puan Noor, 70, (nenek) pun menetap di situ lebih 30 tahun dan tidak pernah kena banjir sebelum itu.

"Jadi, kejadian banjir yang berlaku itu sudah ditetapkan Allah. Kita sebagai hamba-Nya harus akur menerima ketentuan takdir kerana kalau Allah kata jadi, maka jadilah. Semua itu atas izin Allah juga," katanya.

Menurut Afieq, dia kini memperbaiki serba sedikit barangan di dalam rumahnya yang rosak seperti almari dan kabinet dapur yang diperbuat daripada kayu. Katanya, dia bersyukur barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh masih baik serta boleh diguna lagi.

Berbicara pula mengenai kerjaya nyanyiaannya yang semakin mendapat perhatian, Afieq berkata dia berterima kasih kepada semua peminat yang menyokongnya. Katanya, dia memang tak sangka semakin diterima baik.

"Tak dinafikan selepas merakam semula lagu Malam Semakin Dingin nyanyian asal kumpulan Spin secara duet dengan Tajul, bakat nyanyian kami jadi perhatian. Memang saya tak sangka.

AFIEQ Shazwan tak cadang pindah ke tempat lain selepas rumahnya dinaiki air banjir.
AFIEQ Shazwan tak cadang pindah ke tempat lain selepas rumahnya dinaiki air banjir.

"Kemudian, saya ditawarkan pula buat 'cover' lagu Layu Di Hujung Mekar dendangan kumpulan Rio. Tapi, pengurus saya cadangkan lebih baik dirakamkan semula untuk versi 2021.

"Sekali lagi, saya tak sangka lagu itu juga mendapat sambutan baik daripada pendengar. Sama seperti Malam Semakin Dingin, lagu Layu Di Hujung Mekar turut berjaya 'trending' muzik di YouTube Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, muzik video lagu Layu Di Hujung Mekar nyanyian Afieq hingga kini sudah mencatat 3.5 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube FMC Music kira-kira sebulan lalu.

Manakala, muzik video lagu Malam Semakin Dingin bersama Tajul pula sudah mencatat 20 juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga bulan. Bagi Afieq, dia hanya mampu bersyukur dengan rezeki Allah buatnya.

"Segala perancangan daripada Allah adalah terbaik. Dalam kedukaan saya alami akibat bencana banjir itu, Allah ganti dengan rezeki yang lain buat saya iaitu karier nyanyian semakin diterima ramai.

"Kalau sebelum ini mungkin kerjaya nyanyian saya kurang menyerlah berbanding lakonan dan pengacaraan, sekarang nampaknya tiga cabang seni yang saya terokai ini sudah bergerak seiring. Syukur alhamdulillah," katanya.

LAGU duet baharu, Afieq berganding dengan Muna Shahirah.
LAGU duet baharu, Afieq berganding dengan Muna Shahirah.

Duet Muna Shahirah

Mengakui nyanyian adalah minat utamanya, Afieq turut merancang kemunculan single baharu untuk dikongsi bersama peminat. Ujarnya, dia akan tampil dengan single duet tidak lama lagi.

"Jika tiada aral, single duet saya bersama Muna Shahirah akan dilancarkan pada bulan depan. Ia lagu hasil ciptaan Sirkhan dan Ibnu yang amat sesuai dengan gabungan vokal kami.

"Saya memilih Muna Shahirah kerana vokal yang serasi. Kalau sebelum ini untuk penyanyi lelaki, gabungan vokal saya serasi dengan Tajul, bagi penyanyi wanita pula Muna adalah pilihan tepat," katanya.

Ditanya mengenai Wany Hasrita, pelakon drama Diari Seorang Suami itu berkata dia juga teringin berduet dengan Wany, namun belum ada rezeki lagi. Ujar Afieq, ia disebabkan Wany juga baru muncul dengan lagu duet bersama Tajul.

"Saya tiada masalah untuk berduet dengan mana-mana penyanyi wanita, asalkan lagu itu sesuai dengan gabungan vokal kami. Cuma, kali ini rezeki saya berduet dengan Muna dan alhamdulillah, semua berjalan lancar.

"Lagu pun sudah siap kami rakam dan hanya menunggu tarikh untuk dilancarkan. Harapan saya, semoga lagu duet terbaharu ini nanti akan mendapat sambutan baik dan positif daripada pendengar," katanya.

Mengulas juga tawaran berlakon, Afieq berkata dia akan membintangi drama bergenre komedi, Republik Of Gombak sebanyak 20 episod. Katanya, dia teruja menjayakan drama itu kerana jalan ceritanya sangat mencuit hati dan pasti menghiburkan penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:40 AM