AFIEQ berterima kasih pada Wany Hasrita banyak membantu.
AFIEQ berterima kasih pada Wany Hasrita banyak membantu.
Norhayati Nordin

Menyanyi solo dan duet ada bezanya. Malah, mencari keserasian suara dalam duet bukan mudah antara penyanyi dan memerlukan komitmen tinggi dengan selalu berlatih serta berbincang apa yang sesuai.

Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara, Afieq Shazwan, semoga wujud keserasian vokalnya dan rakan duet, Wany Hasrita untuk menyanyikan lagu Ku Cuma di malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38), Ahad ini.

Pun begitu, Afieq mengakui dia berasa bersemangat apabila Wany banyak membantu sekali gus menghilangkan sedikit debaran di hatinya berikutan penyanyi lelaki asal lagu itu ialah Datuk Jamal Abdillah yang juga penghibur legenda tanah air.

"Walaupun persiapan saya dan Wany untuk kami duet menyanyikan lagu Ku Cuma ini sudah memasuki 80 peratus bersedia, tapi tak dinafikan saya masih lagi dibelenggu perasaan gemuruh tidak menentu kerana fikirkan macam-macam.

AFIEQ dan Wany Hasrita berduet menyanyikan lagu Ku Cuma di AJL 38, malam Ahad ini.
AFIEQ dan Wany Hasrita berduet menyanyikan lagu Ku Cuma di AJL 38, malam Ahad ini.

"Jadi apa yang saya harapkan di malam final AJL 38 ini nanti agar keserasian vokal kami dapat menyerlah. Saya akan membuat persembahan sebaik mungkin kerana ini lagu orang dipertanggungjawabkan kepada saya," katanya.

Pemilik nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, ini berkata, dia begitu menghargai setiap lagu dihasilkan komposer dan penulis lirik kerana ada penceritaan kisah tersendiri di dalam karya itu dan sebagai penyanyi harus memahaminya betul-betul.

Menurut Afieq, kini dia dan Wany Hasrita masih giat membuat latihan vokal bersama guru mereka, Shaffiq Erwin untuk memantapkan lagi persediaan dalam persembahan duet itu agar lebih padu.

Sementara itu, Wany Hasrita, 32, berkata, dia menghormati keputusan Jamal yang memilih untuk menarik diri kerana lagu Ku Cuma itu adalah milik komposer dan penulis lirik, manakala mereka pula bertindak menyanyikan saja.

"Saya sedih juga apabila tahu mengenai keputusan beliau (Jamal) tarik diri, tapi tak apalah jika itu sudah pilihannya. Saya hormati dan teruskan saja perjuangan menyanyikan Ku Cuma dengan penyanyi lain.

"Harapan saya, hanya mahu membuat persembahan yang baik dan menghiburkan untuk penonton. Saya mahu bergembira dan berhibur saja di atas pentas AJL 38 itu tanpa memikirkan perkara-perkara lain serta serahkan segalanya pada rezeki.

"Apapun, saya yakin dengan kemampuan dan tahap nyanyian Afieq berduet dengan saya. Pasti ada kelainannya, apatah lagi ini kerjasama pertama antara kami berdua terus di pentas AJL 38," katanya.

Menurut ibu seorang anak ini, lebih istimewa lagi apabila ada elemen persembahan tarian turut dipersembahkan di AJL38 itu dan mereka kini dalam proses latihan untuk memastikan peminat serta penonton terhibur.

Lagu Ku Cuma adalah ciptaan bersama komposer Ezra Kong dan A Ramlee akan berentap dengan 11 lagi lagu lain di pentas AJL 38 kali ini yang menjanjikan saingan hangat dan persembahan hebat daripada kesemua finalis.

Wany Hasrita atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, penyertaannya di AJL 38 adalah yang ketiga selepas kali pertama bertanding dengan lagu Menahan Rindu di AJL 32 pada 2018 dan lagu Belenggu Rindu bersama Jamal di AJL 35 pada 2021 serta mereka mendapat tempat ketiga.

AJL 38 akan bersiaran langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, jam 9 malam dan disiarkan di TV3 serta boleh juga distrim secara eksklusif menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Menariknya juga, AJL 38 bertemakan Muzikaverse adalah gabungan dua perkataan iaitu Muzik dan Multiverse yang menyatukan dunia berbeza antara penyanyi, penulis lirik dan komposer dalam mencipta sebuah karya lagu-lagu yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:30 AM