Anzalna memeluk bayi disamping suaminya.
Anzalna memeluk bayi disamping suaminya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Anzalna belum dapat berkongsi jantina anak keduanya yang selamat dilahirkan secara pembedahan pada 20 Mei lalu.

Anzalna berkata, dia terpaksa merahsiakan perkara itu kerana mahu memberi kejutan kepada ahli keluarganya yang sedang bercuti di Eropah.

"Insya-Allah saya akan kongsikan jantina anak dalam minggu ini selepas kedua ibu bapa dan adik-beradik lain pulang dari Eropah.

"Kalau ikut perancangan awal anak saya lahir pada 31 Mei ini, tapi selepas doktor membuat pemeriksaan pada tarikh akhir iaitu 20 Mei lalu, dia maklumkan anak saya sudah nak keluar.

"Jadi tak dapatlah mereka menemani saya di hospital ketika saya menjalani pembedahan anak kedua ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anzalna, dia mengaku proses kelahiran anak kedua berjalan lebih tenang meskipun terkejut anaknya lahir 12 hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor.

"Alhamdulillah kali ini proses bersalin lebih tenang. Mungkin saya sudah ada pengalaman ketika melahirkan Eidress sebelum ini.

"Setakat ini anak berada dalam keadaan yang baik. Saya juga ada pembantu yang menguruskan saya dan anak sepanjang tempoh berpantang ini selain ditemani suami yang ambil cuti sehingga sekarang.

Anzalna dan Hanif berkahwin pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Mohamad Eidrees, 2 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 3:05 PM