Anzalna Nasir
Anzalna Nasir
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Ada individu cuba mendekati pelakon Anzalna Nasir, 33, untuk mendapatkan tawaran kerja selepas bapanya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, 62, dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 1 November lalu.

Anzalna berkata sebagai anak, dia tidak mempunyai kuasa untuk menjadi 'orang tengah' bagi mendapatkan sesuatu tawaran itu meskipun ganjaran dijanjikan kepadanya agak lumayan.  

"Memang benar ada yang tak pernah hubungi saya sebelum ini pun, tiba-tiba saja hubungi. Tapi, saya anggap mereka sekadar nak bertanya khabar dan ucapan terima kasih. 

"Walaupun tawaran diberikan menarik, tapi apa yang boleh saya kata adalah jawatan itu disandang oleh ayah dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa langsung. 

"Saya hanya mampu berikan sepenuh sokongan dan selalu berharap dia (ayah) dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan terbaik," katanya dalam pendedahan menerusi program Melodi yang bersiaran di TV3, hari ini.

Menurut Anzalna, dia juga menafikan tawaran lakonan diterima semakin mencurah-curah selepas pelantikan bapanya sebagai CEO Finas. 

"Sebenarnya sebelum bapa saya dilantik CEO Finas sehinggalah sudah memiliki cahaya mata, tawaran berlakon untuk saya sentiasa ada. 

"Saya bersyukur sampai sekarang masih ada tawaran yang datang,  malah ada syarikat produksi masih tak putus asa bertanya mengenai jadual kerja saya walaupun sudah tahu jawapan yang akan diterima nanti. 

"Jadi segala dakwaan yang mengatakan saya dihujani tawaran selepas bapa dilantik CEO Finas adalah tidak benar. Alhamdulillah, sama ada ayah saya dilantik atau tidak, rezeki berlakon memang sentiasa ada," katanya. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 2:02 PM