ANZALNA berharap anak keduanya dapat berkongsi tarikh lahir yang sama dengan putera sulungnya iaitu pada 31 Mei ini.
ANZALNA berharap anak keduanya dapat berkongsi tarikh lahir yang sama dengan putera sulungnya iaitu pada 31 Mei ini.
Najiy Jefri


Pelakon jelita, Anzalna Nasir menyimpan harapan agar anak keduanya dapat berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan putera sulungnya, Mohamad Eidrees iaitu pada 31 Mei.

Sedang menghitung hari, Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Mohd Nasir mengakui teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan bayinya nanti.

"Kalau ikutkan, saya mahu bersalin pada 31 Mei nanti. Dapatlah si adik berkongsi tarikh lahir yang sama dengan abangnya. Tapi apa-apa pun, saya tengok keadaan dulu.

"Saya dan suami sudah tak sabar untuk melihat wajah anak kedua kami. Kami juga sudah menyediakan 100 peratus kelengkapan bayi, memandangkan barang-barang ketika menyambut kelahiran Eidrees sudah diberikan kepada orang lain," katanya.

Ditanya mengenai pengalaman kehamilan anak kedua, wanita berusia 34 tahun itu memberitahu dia tidak mengalami masalah berat ketika hamil, kecuali terpaksa membawa saiz kandungan yang agak besar berbanding sewaktu mengandungkan anak sulungnya itu.

Tambah Anzalna, dia juga mengaku cepat berasa penat namun semuanya masih dapat dikawal.

"Tidak banyak perbezaan pun dengan kehamilan sebelum ini. Perbezaannya cuma kandungan saya kali ini agak besar.

ANZALNA buat persediaan sambut bayi, syukur suami banyak membantu.
ANZALNA buat persediaan sambut bayi, syukur suami banyak membantu.

"Jadi saya cepat penat ditambah perlu menguruskan Eidrees yang masih memerlukan perhatian kerana dia juga masih kecil," katanya.

Enggan anaknya diasuh oleh orang luar, Anzalna berkata, dia mahu memainkan peranan sepenuhnya sebagai ibu yang membesarkan anak-anak.

"Walaupun dalam keadaan sedang sarat hamil, saya masih menguruskan anak yang dijaga sepenuhnya tanpa pengasuh. Saya ada pembantu, tapi tugasnya hanya menguruskan kebersihan rumah.

"Cuma sekarang ini pembantu saya sedang bercuti, jadi kerja-kerja menguruskan rumah saya yang lakukan. Walaupun penat, tetapi saya gembira dengan apa yang saya buat. Ini merupakan pengalaman indah bergelar seorang ibu," katanya yang sudah berjanji akan membesarkan dan mendidik anak-anak sepenuh perhatian di depan mata.

Dalam pada itu, Anzalna turut ditanya mengenai rahsia hubungan rumah tangga kekal bahagia.

Katanya setiap pasangan mempunyai pilihan dalam mengekalkan rumah tangga yang dibina supaya berada pada landasan yang baik.

"Apa yang penting perlu saling memahami. Alhamdulillah saya dan suami banyak saling bantu-membantu terutama bab menjaga anak. Apa yang kami lakukan selalunya bersama.

"Kalau suami nampak saya penat, dia akan ambil alih menguruskan anak, bukannya lepas tangan. Perkara kedua ialah saling mempercayai antara satu sama lain,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 6:42 AM