AZNIL
AZNIL
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi berhasrat untuk kembali menziarahi mangsa banjir di Bukit Changgang, Banting, Selangor bagi melihat keadaan terkini mereka memandangkan Ramadan berbaki dua minggu lagi sebelum sambutan Aidilfitri.

Aznil, 60, atau mesra disapa Pak Nil berkata, susulan perlu dilakukan bagi melihat sejauh mana keadaan dan kehidupan mereka sekarang.

"Sekarang ini apabila kita nak menyambut hari raya, saya terfikir dari tempoh banjir ke sambutan hari raya nanti, jaraknya tidak jauh. Jadi, bagaimana dengan keadaan mereka yang kembali bermula dari kosong selepas harta benda musnah oleh banjir.

"Macam mana pula mereka nak menyambut hari raya? Mungkin hari raya mereka kali ini tidak bermakna kerana dihimpit oleh kesempitan ekonomi. Jadi itu mungkin satu susulan yang bagus buat kita semua.

"Seperti ketika tempoh banjir itu saya ada membuka Kedai Percuma di Bukit Changgang, tapi apalah sangat yang saya berikan. Saya takut bantuan seperti itu hanya hangat ketika bencana itu berlaku, selepas itu kita lupa nak membuat susulan. Mungkin ia perlu kita lakukan. Mungkin saya boleh lihat balik mereka yang pernah saya kunjungi terdahulu. Tentu mereka belum lagi bersedia untuk menyambut Aidilfitri," katanya.

Dalam masa sama, Pak Nil juga meluahkan hasrat untuk membawa anak-anak dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk membeli baju raya, seperti yang dilakukan sebelum pandemik Covid-19.

"Impian saya adalah untuk kembali membawa anak-anak SBJK untuk membeli belah sempena hari raya. Saya mahu minta kerjasama kalau ada pasar raya atau mana-mana pihak yang berkeinginan untuk bekerjasama dengan saya.

"Ia adalah rutin yang saya lakukan hampir setiap tahun sehinggalah pandemik Covid-19 melanda. Selepas pandemik, dua tahun saya tidak berbuat demikian. Saya rindu pada aktiviti itu dan saya terfikir untuk melakukannya sekali lagi, insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 9:37 AM