JAYAKAN The Story... Episod 3
JAYAKAN The Story... Episod 3
Ramlah Zainal


Hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, pengacara serba boleh Datuk Aznil Nawawi melakar pelbagai kejayaan malah namanya terus utuh hingga ke hari ini.

Bukan saja dikenali di negara sendiri, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil juga berhasrat menempa nama di Hollywood.

Terbaru, ada desas-desus mengatakan Aznil antara pengacara yang akan mengendalikan program di saluran hiburan antarabangsa E! tidak lama lagi.

Tanda tanda itu terjawab apabila Aznil berkongsi khabar gembira itu di laman sosialnya. Namun Aznil berkata dia belum boleh bercerita secara terperinci mengenai kerjasama yang bakal terjalin kerana menghormati pengurusan saluran terbabit.

“Apa boleh saya katakan, pintu sudah terbuka dan mungkin pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya ketika sidang media E! berlangsung di Amerika Syarikat awal tahun ini, satu perbinca­ngan menjalin kerjasama sudah dibuat.

“Cuma hala tujunya akan diberitahu nanti,” katanya ketika menjayakan program The Story... Episod 3 yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini.

Mengulas pencapaiannya hari ini, kata Aznil, ia bukan mudah diraih.

“Saya bekerja keras untuk mencapai apa yang dikecapi hari ini.

“Mungkin bahasa Inggeris saya tidak sehebat mana tetapi ia bukan kekangan untuk saya ke Hollywood. Apa yang penting mereka faham apa yang cuba disampaikan,” katanya.

Selepas kejayaan program Selfie Pak Nil di LA, pengacara terkenal ini diberi kepercayaan menerajui program hampir sama berjudul Pak Nil Goes To Hollywood.

Selain itu, Pak Nil juga pernah membuat liputan acara karpet merah Academy Awards ke 88 di Dolby Theatre California untuk HBO Sentral.

Kongsi ilmu dengan pelapis

Sepanjang pembabitan dalam bidang pengacaraan, Aznil sudah mengendalikan pelbagai program.

Antaranya bual bicara, rancangan kanak-kanak, kuiz dan program realiti televisyen.

Menurut Aznil, sampai masanya dia memberi peluang kepada pelapis muda terutama pelawak.

“Saya ingin mengacarakan program yang me­ngajak masyarakat berfikir.

“Saya kena buat apa yang orang tidak mahu buat tidak yakin melakukannya.

“Sebagai contoh, sebelum ini saya mengacarakan program kanak-kanak yang orang takut buat kerana susah dapat penaja.

“Saya sahut cabaran itu dan terbukti program sebegini juga mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:59 AM