YAYASAN Maghfirah sasar kutipan RM5 juta untuk kempen ‘Raikan Ramadan’ tahun ini. FOTO Azhar Ramli
YAYASAN Maghfirah sasar kutipan RM5 juta untuk kempen ‘Raikan Ramadan’ tahun ini. FOTO Azhar Ramli
Najiy Jefri


Bulan Ramadan adalah bulan ibadah yang dinanti-nantikan bagi umat Islam di seluruh dunia.

Namun, dua tahun kebelakangan ini, umat Islam berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang menyaksikan perubahan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan dilaksana dalam suasana serba baharu.

Akibat pandemik ini, ramai rakyat Malaysia yang terkesan dari sudut pekerjaan dan pendapatan sekali gus kadar kemiskinan di negara ini juga menunjukkan angka peningkatan.

Atas rasa tanggungjawab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Yayasan Maghfirah sekali lagi tampil membantu dalam mengagihkan sumbangan kepada golongan sasaran.

Lebih menarik, Yayasan Maghfirah turut bekerjasama dengan beberapa selebriti seperti Johan As'ari, Fedtri Yahya, Hafiz Hamidun dan Azmi Saat yang dilantik sebagai duta.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Yayasan Maghfirah, Muhammad Shuib Noruddin, usaha itu adalah menerusi kempen 'Raikan Ramadan' yang dianjurkan yayasan itu jumlah sasaran kutipan sebanyak RM5 juta.

"Alhamdulillah dengan sumbangan orang ramai pada Ramadan yang lalu, Yayasan Maghfirah sudah berjaya mengagihkan bantuan Ramadan sebanyak RM1.2 juta kepada golongan asnaf.

"Mereka terdiri dari penduduk di 15 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang, pusat perlindungan dan kebajikan, kumpulan petugas barisan hadapan, rumah anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz dan lain-lain dengan anggaran melebihi 35,000 penerima manfaat.

"Kini, Yayasan Maghfirah sekali lagi melancarkan kempen 'Raikan Ramadan' dengan mensasarkan pengumpulan dana sebanyak RM 5 juta pula.

"Kempen ini membuka ruang dan peluang ramai pihak melakukan kebaikan dan merebut keberkatan Ramadan untuk masyarakat muslim di Malaysia. Ia bagi tujuan berkongsi rezeki dengan keluarga asnaf dan golongan yang memerlukan di luar sana," katanya.

Tambah Shuib, pihak yayasan juga merancang mengagihkan bantuan Ramadan tahun ini hingga ke negara Timur Tengah seperti Mesir dan Lubnan.

"Daripada jumlah RM5 juta yang disasarkan itu, sebanyak RM 1.5 juta akan digunakan bagi membantu lebih 40,000 orang penerima manfaat untuk sepanjang Ramadan tahun ini.

AZMI harap kehadiran sebagai duta dapat bantu kempen diadakan. FOTO Azhar Ramli
AZMI harap kehadiran sebagai duta dapat bantu kempen diadakan. FOTO Azhar Ramli

"Dana selebihnya nanti akan kita agihkan kepada yang mereka yang layak pada bulan-bulan berikutnya sepanjang tahun 2022 ini.

"Justeru, kami mengambil inisiatif memperkenalkan lima pakej yang ditawarkan bagi menjayakan kempen 'Raikan Ramadan' ini," katanya.

Lima inisiatif pakej terbabit adalah Kongsi Rezeki, Infaq Quran, Ramadan Timur Tengah, 30 Hari 30 Sedekah dan Cabaran 1000 Bulan.

Sementara itu, vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat ketika ditemui berkata, dia berasa teruja apabila dilantik untuk sama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai untuk membantu golongan memerlukan.

"Saya tertarik untuk terbabit dengan yayasan ini kerana percaya sedikit pengaruh yang saya miliki di media sosial pastinya sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada pengikut untuk turut membantu.

"Saya juga menganggap apa yang dilakukan ini adalah 'sumbangan' saham akhirat diri sendiri apabila saya sudah tiada nanti. Sebagai penyanyi, saya mahu kehadiran dalam industri turut mempunyai peranan yang baik kepada masyarakat," katanya.

Tambah Azmi, sebagai duta dia akan menguar-uarkan kempen kebajikan yang dijalankan di media sosial miliknya selain turun padang juga membantu golongan memerlukan.

Dalam pada itu, sempena Ramadan kali ini, buat julung kalinya Yayasan Maghfirah akan melaksanakan Majlis Amal Maghfirah yang bertujuan meraikan golongan asnaf terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar tahfiz dan pelajar-pelajar kelas Sahabat Al-Quran.

Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat untuk membuat sumbangan boleh mendapatkan maklumat lanjut di platform media sosial disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 6:03 AM