ANTARA 300 Anak Yatim, asnaf dan OKU yang diraikan pada Majlis Amal Maghfirah yang diadakan di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
ANTARA 300 Anak Yatim, asnaf dan OKU yang diraikan pada Majlis Amal Maghfirah yang diadakan di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Najiy Jefri

MAJLIS Amal Maghfirah anjuran Yayasan Maghfirah dimeriahkan dengan kehadiran 300 anak-anak yatim, pelajar tahfiz, orang kelainan upaya dan anak asnaf.

Program yang mendapat tajaan kelas Sahabat Al-Quran Yayasan Maghfirah itu dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti tanah air seperti Johan As'ari, Imam Muda Najdi, Fedtri Yahya, Azmi Saat, Ustaz Adnin Roslan, dan Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang dilihat turun padang meraikan majlis amal yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Maghfirah, Muhammad Shuib Noruddin berkata, objektif utama Majlis Amal Maghfirah adalah bertujuan meraikan insan-insan ini disamping memberikan peluang merasai kemeriahan bulan Ramadan dengan juadah berbuka puasa yang sedikit berbeza daripada hari-hari biasa.

"Majlis Amal Maghfirah dimulakan seawal jam 3 petang dengan sesi pembukaan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Firdaus yang juga OKU cacat penglihatan dengan menggunakan Al-Quran Braille dan persembahan bercerita oleh anak asnaf tajaan Kelas Sahabat Al-Quran Yayasan Maghfirah.

"Seterusnya, majlis iftar pada belah malam pula dirasmikan oleh Datuk Ts Dr. Hj. Amirudin Bin Amir Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan sangat lancar," katanya.

JOHAN antara selebriti yang memeriahkan acara itu.
JOHAN antara selebriti yang memeriahkan acara itu.

Selain itu, Yayasan Maghfirah juga turut melancarkan projek terbaru iaitu Pusat Latihan Dakwah Yayasan Maghfirah yang akan dibangunkan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Pusat Latihan dakwah ini bertujuan melahirkan lebih ramai pendakwah mahir dalam segenap lapisan masyarakat, dan juga sukarelawan mahir dan terlatih yang akan terus bersama Yayasan Maghfirah membina dan menyantuni masyarakat di luar sana.

"Melalui projek ini, Yayasan Maghfirah menyasarkan dana sebanyak RM 12 juta bagi perlaksanaan projek fasa pertama sehingga hujung tahun 2023. Semoga segala usaha dan perancangan ini mendapat keberkatan Allah," katanya.

Sementara itu, Johan ketika ditemui meluahkan rasa teruja apabila dapat bersama-sama meluangkan waktu dengan kanak-kanak yang hadir.

JOHAN teruja apabila dapat beramah mesra  dan meluangkan waktu dengan kanak-kanak.
JOHAN teruja apabila dapat beramah mesra dan meluangkan waktu dengan kanak-kanak.

"Alhamdulillah acara ini berlangsung dengan cukup meriah dan saya akui seronok melihat kanak-kanak ini begitu gembira sepanjang majlis ini berlangsung.

"Tak sangka, mereka mengenali saya walaupun rata-rata masih kecil. Apa yang membuatkan saya lebih terharu adalah kanak-kanak ini datang ke meja dan minta tandatangan kenangan selain mahu bergambar.

"Bagi saya, majlis sebegini adalah salah satu cara terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhwah. Kehadiran mereka cukup memberi kesan di hati saya,"katanya.

Kepada yang ingin menyumbang boleh disalurkan melalui website yayasanmaghfirah.org atau hubungi 011-6400 1649 untuk info lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:30 AM