ANNUAR (kanan) memerhatikan Mohd Radzi menyampaikan sumbangan kepada penerima di majlis Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANNUAR (kanan) memerhatikan Mohd Radzi menyampaikan sumbangan kepada penerima di majlis Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin

Putrajaya: Seramai 400 golongan asnaf di Putrajaya menerima bantuan menerusi Program Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Kumpulan Media Prima dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

"KWP memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk 2,000 golongan asnaf dengan pecahan 1,100 penerima di Kuala Lumpur, 500 penerima di Labuan dan 400 penerima di Putrajaya.

"Di samping itu, Kumpulan Media Prima turut memberikan sumbangan kepada golongan asnaf melalui sumbangan orang ramai kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP sebagai tambahan wang tunai dalam Program Prihatin Ramadan tahun ini.

"YWP pula menyediakan sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM50 seunit dalam program ini," katanya pada program berkenaan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program berkenaan Ahli Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman.

Annuar berkata, KWP dan PPj dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran turut menginfaqkan 4,000 nafkah al-Quran Al-Katim Mushaf Putrajaya.

"Al-Quran ini turut diserahkan kepada golongan asnaf yang hadir serta diedarkan ke tiga masjid, 25 surau Jumaat dan komuniti, 25 surai sekolah dan 28 surau pejabat di Putrajaya.

"Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya adalah terbitan khas bersempena sambutan Jubli Perak Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, Program Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan adalah program tahunan KWP dan kesinambungan dari Program Nur Ramadan yang dilaksanakan sejak 2010.

"Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meringankan beban perbelanjaan golongan asnaf melalui pemberian sumbangan kepada mereka dalam mengimarahkan amalan bersedekah di bulan Ramadan.

"Selain itu, program ini diharapkan dapat membina kesedaran masyarakat untuk lebih cakna dan prihatin membantu golongan kurang berkemampuan untuk turut merasai kemeriahan dalam persiapan menyambut Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 8:30 PM