SULTAN Sharafuddin menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak anak yatim, fakir miskin ketika Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat anjuran MRCB di Masjid Kelana Jaya Petra. FOTO Farhan Razak
SULTAN Sharafuddin menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak anak yatim, fakir miskin ketika Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat anjuran MRCB di Masjid Kelana Jaya Petra. FOTO Farhan Razak
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli berbuka puasa bersama 500 golongan memerlukan di negeri ini.

Lebih bermakna, Sultan Sharafuddin turut berkenan memulakan majlis dengan menyerahkan sendiri sampul duit raya kepada penerima sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat secara berjemaah.

Naib Presiden Eksekutif Kumpulan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Ishak Mohamed berkata, majlis anjuran Yayasan MRCB itu bagi meraikan dan meringankan beban golongan berkenaan terutama dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

"Majlis ini bagi memberi peluang kepada kepada golongan asnaf, anak yatim, anak istimewa dan ibu tunggal di Selangor untuk merasai pengalaman berbuka puasa bersama-sama Tuanku Sultan Selangor, pemimpin dan agensi berkaitan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

"Untuk program pada petang ini, Yayasan MRCB mengagihkan bantuan wang tunai kepada 500 orang asnaf yang terdiri dari 300 orang asnaf fakir, miskin, ibu tunggal dari Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah dan mualaf dari kariah masjid serta sumbangan wang tunai kepada 200 anak yatim bagi membantu penerima membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal ini.

"Besarlah harapan Yayaan MRCB, supaya sumbangan yang disalurkan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung penerima di samping dapat menimbulkan sedikit perasaan kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Ishak berkata, sehingga hari ini, Yayasan MRCB melaksanakan 80 program membabitkan 200,000 penerima bantuan kategori B40.

"Yayasan ditubuhkan pada 2015 ini memberi fokus membantu membiayai inisiatif program pendidikan, kemiskinan masyarakat, penjagaan kesihatan, pemerkasaan kemahiran kepada kumpulan individu yang mengalami masalah fizikal, program libat urus khas dengan masyarakat Orang Asli dan kelestarian masyarakat.

"Yayasan MRCB juga melaksanakan perkongsian strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan kongsi tempatan untuk mewujudkan impak dalam usaha membantu kumpulan sasar ini.

"Selain itu, Yayasan MRCB juga terbabit dalam membantu menyumbang peralatan perlindungan peribadi, makanan dan keperluan khas kepada petugas barisan hadapan seluruh negara semasa penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 9:15 PM