SYATILLA reda alami keguguran buat kali ketiga, tidak patah semangat timang cahaya mata di masa mendatang
SYATILLA reda alami keguguran buat kali ketiga, tidak patah semangat timang cahaya mata di masa mendatang
Najiy Jefri

BIARPUN impian pelakon Syatilla Melvin untuk menimang cahaya mata ketiga tidak tercapai apabila mengalami keguguran awal bulan lalu, namun dia tetap positif dan reda dengan ketentuan yang berlaku.

Syatilla yang juga isteri pelakon, Shaheizy Sam berkata, di sebalik ujian yang berlaku dia tidak patah semangat untuk menimang cahaya mata pada masa mendatang.

"Saya reda. Tak ada rezeki untuk saya dan Sam (suami). Apabila doktor beritahu kandungan berusia lapan minggu terbantut dan tidak dapat diselamatkan, Sam terdiam sekejap, tapi dia terima dengan hati terbuka.

"Sebenarnya, ini kali ketiga saya keguguran. Kali pertama, sebelum Syeriv dan kedua sebelum Sarima," katanya.

Menurut Syatilla, ibunya juga seakan sudah dapat meneka bahawa kehamilan kali ini kemungkinan mengalami keguguran kerana melihat kepada keadaan dirinya.

"Jujur saya tak bersedia untuk hamil lagi kerana saya agak sibuk menguruskan perniagaan. Apabila Allah berikan rezeki saya sangat teruja dan terkejut, tapi ibu saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana bimbang masalah sama berulang lagi. Tak sangka, ia benar-benar berlaku.

"Saya anggap tiada rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga. Mungkin belum sampai waktu yang tepat," katanya ketika ditemui pada majlis Raikan Ramadan - Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kerinchi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syatilla mendirikan rumah tangga dengan Sam pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

SYATILLA berhajat untuk menubuhkan yayasan sendiri satu hari nanti.
SYATILLA berhajat untuk menubuhkan yayasan sendiri satu hari nanti.

Siapa sangka, kehadiran bulan Ramadan menjentik hati Syatilla untuk memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini.

Syatilla yang pertama kali menyertai program Raikan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah mengakui seronok dan gembira dapat mengagihkan makanan serta bantuan kepada golongan tidak berkemampuan di ibu kota.

"Sebenarnya untuk program ini, saya hanya datang sebagai jemputan untuk memeriahkan lagi. Kebetulan, rakan saya dalam Yayasan itu mengajak untuk sertai bersama.

"Sebelum ini, saya tak ada masa dan kesempatan untuk turut sertai program seperti ini, jadi ini kali pertama saya dapat sertainya. Memang saya rasa seronok dan gembira.

"Walaupun bukan saya yang menerima sumbangan itu dan datang untuk beri sokongan, tapi pengalaman ini cukup menakjubkan. Banyak benda yang saya belajar melalui program ini. Insya-Allah kalau ada peluang, saya nak sertai lagi," katanya.

Selain Syatilla, penyanyi Hafiz Hamidun turut menyertai program menyerahkan bantuan berupa agihan pek bekalan di Dataran PPR Pantai Ria (PPR Sri Cempaka, Kerinchi, Kg Limau Sri Pantai), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi program itu, sebanyak 300 kotak pek Ramadan dan Syawal diserahkan untuk setiap PPR dengan 5,000 kotak bakal diedarkan sepanjang bulan.

PROGRAM Raikan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah berjalan dengan lancar.
PROGRAM Raikan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah berjalan dengan lancar.

Duit raya juga turut disertakan dalam setiap pek Syawal dan ia termasuk 6,000 pek iftar yang juga diagihkan bermula 1 Ramadan lalu dengan sasaran 35,000 penerima manfaat.

Ditanya adakah dia berhajat untuk menubuhkan yayasan sendiri satu hari nanti, Syatilla mengakui ada perancangan ke arah itu.

"Sebenarnya memang saya dan adik-beradik lain ada perancangan untuk menubuhkan yayasan sendiri memandangkan syarikat kami sudah berstatus Sendirian Berhad.

"Lagipun setiap tahun kami membayar zakat dan pihak zakat rupanya boleh memberikan sebahagian zakat yang kami berikan untuk kami sendiri salurkan kepada golongan yang memerlukan.

"Cuma buat masa ini, belum bersedia untuk menubuhkan yayasan sendiri tapi perancangan itu sudah ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 6:00 AM