ADAM Ilyas. FOTO Arkib NSTP
ADAM Ilyas. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Stesen Awesome TV menetapkan prinsip asas tersendiri dalam pengambilan selebriti khususnya pelakon untuk terbabit dalam setiap produksi mereka dan tidak mengamalkan diskriminasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, mereka tidak mengutamakan jumlah pengikut media sosial, sebaliknya menjadikan bakat dan penampilan sebagai kriteria utama dalam pemilihan.

"Sebagai contoh, telefilem Pang Pokok Ketapang yang meletakkan Amerul Affendi sebagai teraju utama berjaya meraih jumlah tontonan melebihi satu juta melalui tonton TV.

"Telefilem terbabit turut menerima ciapan tertinggi melalui platform Twitter yang memuji lakonan Amerul yang dilihat cukup menjiwai watak melalui karya ini.

"Awesome TV tidak mengamalkan diskriminasi dalam pemilihan pelakon khususnya kerana kami lebih fokus kepada bakat serta kandungan program dan kami percaya kepada pencungkilan bakat baharu yang sesuai untuk dijadikan pelapis industri," katanya.

Menurutnya, personaliti media sosial seperti di Instagram, TikTok, Facebook dan sebagainya tidak semestinya mempunyai kebolehan yang sesuai untuk kandungan televisyen.

"Secara konklusifnya, sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai.

"Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita serta pengarahan yang baik adalah formula yang tepat untuk berjaya menarik tontonan masyarakat," katanya.

Terdahulu, pelakon Amerul Affendi dan Zahiril Adzim secara berseloroh dan sinikal berkongsi membeli pengikut demi untuk 'menurut' kemahuan stesen TV.

Nam Ron pula pernah memuat naik foto ala-ala separuh bogel demi menyahut cabaran stesen TV yang mahukan barisan pelakon yang mempunyai sekurang-kurangnya satu juta pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:36 PM