Fadzil ikuti perubahan dan tidak berkompromi dengan kualiti. FOTO INSTAGRAM
Fadzil ikuti perubahan dan tidak berkompromi dengan kualiti. FOTO INSTAGRAM
Rudy Imran Shamsudin


TINDAKANNYA memuat naik status mahu mencari pelakon baru yang cantik dan mempunyai ramai pengikut di Instagram, Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB) Fadzil Teh dikecam penggiat industri drama dan pelakon.

Fadzil dikritik kerana tindakannya itu boleh memberi impak buruk kepada industri penerbitan drama kerana mengambil pelakon yang tidak mempunyai pengalaman dan hanya bergantung kepada populariti di laman sosial semata-mata.

Tindakannya secara tidak langsung juga boleh memberi kesan negatif kepada pelakon berpengalaman yang selama ini berusaha menjaja bakat mereka.

Fadzil atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel berkata, apa yang dilakukannya adalah semata-mata atas permintaan pihak stesen televisyen di samping mengikut ‘trend’ masa kini.

“Mereka yang mengecam saya itu tidak tahu kerana tidak pernah mengikuti proses penerbitan dan ‘pitching’ di depan pegawai dari stesen TV. Lagipun bidang ini berputar mengikut musim. Sekarang ini memang kebanyakan pelakon lahir dari media sosial dan sudah mempunyai pengikut ramai. Sebagai penerbit kita juga harus ukur dengan perubahan,” katanya.

Menurut Fadzil, walaupun pelakon itu diambil berdasarkan populariti di media sosial, tetapi mereka juga perlu menjalani sesi uji bakat.

“Jika mereka memang tidak berbakat dan berlakon macam ‘kayu’, sudah tentu kami tidak akan ambil. Selaku penerbit, saya tidak akan berkompromi dari segi mutu,” katanya.

Fadzil berkata, ketika dia menawarkan watak kepada Mira Filzah, pelakon itu tidak mempunyai pengalaman tetapi sudah mempunyai lebih sejuta pengikut di laman sosial.

“Tidak semestinya apabila dia mempunyai ramai pengikut dia tidak berbakat. Bermula dengan drama Experiment Cinta, Mira sekarang sudah membuktikan dia juga mempunyai pelbagai bakat dalam bidang seni,” katanya.

Fadzil berkata, industri hiburan sudah berbeza berbanding dulu dan sebagai penerbit, kelangsungan perniagaan dalam bidang penerbitan turut bergantung kepada jumlah tontonan.

“Sekiranya pelakon itu mempunyai pengikut ramai di laman sosial, mereka boleh membantu mempromosikan karya dihasilkan dan ia secara tidak langsung dapat membantu pihak penerbit dan juga stesen TV,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 11:10 PM