Aman Graseka teraju utama dalam telefilem arahan Erfan Zainialdin
Aman Graseka teraju utama dalam telefilem arahan Erfan Zainialdin
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Selepas ditangguhkan penggambarannya selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19, telefilem Kayuh yang menjalani penggambaran awal tahun ini berjaya disiapkan.

Telefilem arahan pengarah baru, Erfan Zainialdin akan disiarkan TV1 jam 9 malam ini sempena Hari Bapa.

Menurut Erfan, mereka mengambil masa sekitar 14 hari untuk menyiapkan penggambaran telefilem ini.

"Kalau ikutkan telefilem ini dah dua tahun perancangannya tapi disebabkan Covid-19 kita terpaksa tangguh dan tahun ini baru dapat jalankan penggambaran.

"Pada awalnya telefilem ini kita buat untuk hari kemerdekaan tapi selepas bos tengok, dia rasa cerita ini lebih bersesuaian untuk ditayangkan sempena hari bapa," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, sebagai seorang pengarah baru sedikit sebanyak memberikan cabaran buatnya, namun dengan kerjasama baik daripada pelakon berpengalaman ia membantu melancarkan proses penggambaran.

"Disebabkan saya pengarah baru, jadi nak arahkan pelakon 'otai' macam Aman Graseka, Amerul Affendi, Noorkhiriah, Adam Shah dan Delimawati adalah cabarannya. Jadi cabarannya di situ, bagaimana saya sebagai orang baru nak dapat kepercayaan untuk mengarahkan cerita ini.

"Pelakon untuk telefilem ini memang profesional. Mereka akan kaji dan hadam skrip yang diberikan sejak awal lagi. Memang mudah bekerja dengan mereka sebab mereka pun lebih terkehadapan daripada saya," katanya.

Telefilem Kayuh berkisarkan seorang penarik beca, Pak Rahman yang juga bapa kepada dua orang anak iaitu Khalid dan Umar. Pak Rahman mengayuh beca demi mencari rezeki untuk keluarganya.

Konflik bermula apabila Khalid menyalahkan Pak Rahman atas kematian ibunya sehingga hubungan mereka renggang dan Umar mencuba pelbagai cara untuk menjernihkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 4:21 PM