Instagram antara menjadi medan ukur kualiti artis.
Instagram antara menjadi medan ukur kualiti artis.
minda

BARU-BARU ini, kecoh mengenai sentimen artis ditolak stesen TV gara-gara jumlah pengikut di media sosial 'sendu'.

Secara spesifik, pelakon Amerul Affendi yang juga pemenang trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 ditimpa nasib itu berikutan pendedahannya, ramai artis lain bersuara mempertahankan Amerul di mana mereka menyifatkan ia satu penindasan dalam industri yang pahit untuk ditelan.

Mereka mempersoalkan ke mana hala tujunya kualiti seni tempatan jika penilaian berdasarkan jumlah pengikut di media sosial.

Memiliki lebih 200,000 pengikut di Instagram ketika itu, jelas angka terbabit tidak memadai untuk meyakinkan pihak stesen TV mempertaruhkan namanya.

Ia sekali gus membawa kepada persoalan berapalah agaknya angka yang cukup supaya nama dipilih untuk muncul di kaca TV.

Secara peribadi sentimen ini agak menggusarkan juga jika benar kualiti atau nilai seorang anak seni diukur daripada segi itu.

Jika tidak dijelaskan secara terperinci dan pihak tidak kisahlah stesen TV atau yang lain tidak bersifat lutsinar mengenainya, tidak mustahil mudaratnya melarat kepada industri seni kita.

Bagaimanapun, mungkin sentimen ini dibangkitkan dengan memperbesar isu mengenai jumlah pengikut semata-mata.

Padahal, penolakan sedemikian barangkali bertitik-tolak daripada pelbagai faktor termasuk pelakon tidak menepati kriteria, perubahan di saat akhir atau lain-lain.

Namun, jika benar hanya disebabkan faktor itu sahaja, corak pengambilan sedemikian perlu diperhalusi semula disebabkan ia umpama memperlekeh kualiti insan seni.

Artis kita pun bukannya terdiri daripada lapisan muda-muda yang pengikutnya berjuta, sebaliknya artis lama dan senior masih ramai rancak dalam karier seni.

Paling mengecewakan semestinya apabila artis dibandingkan pula dengan 'influencer' yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sekarang.

Mereka bukannya artis, namun gara-gara angka pengikutnya mencecah jutaan, keistimewaan diberikan kepada mereka dalam pelbagai segi.

Padahal, belum tentu lagi pengaruh mereka tepat untuk meninggalkan impak dalam lapangan seni.

   Apapun, jika melihat daripada perspektif lebih optimis, sebaiknya artis perlu jadikan sentimen sebegini sebagai pembakar semangat.

Lihat saja di Hollywood mahupun Korea Selatan, ramai nama besar tidak perlu wujudkan pun media sosial untuk kerjaya mereka.

Jenama mereka sendiri sudah cukup kukuh untuk jadi buruan produksi dan bayaran lumayan.

   Mereka termasuk Angelina Jolie, Brad Pitt, Jennifer Lawrence, Emma Stone, Gongyoo, Kang Dong-woon, Seo Ye-ji, Hyun Bin dan ramai lagi.

Ia sekadar perumpamaan walaupun industri kita belum layak untuk dibandingkan dengan kemegahan industri seni di kedua negara terbabit.

Intipatinya, soal jumlah pengikut sepatutnya tidak mempengaruhi nilai kualiti seni artis itu sendiri.

Dalam industri kita sendiri, ada saja contoh artis yang boleh dijadikan teladan membuktikan sentimen ini bukan penentu segalanya.

Contohnya penyanyi Dayang Nurfaizah, siapa yang mengikuti pergerakan jumlah pengikutnya di media sosial pasti tahu.

Tidak lama dulu, angka pengikutnya di Instagram tidaklah gah sebagaimana yang lain terutama artis baharu.

   Bagaimanapun, permintaan terhadap kemunculannya tidak lekang sehingga kini disebabkan jenama Dayang Nurfaizah itu sendiri.

Berkat kualiti seninya yang berterusan terbukti konsisten, angka pengikutnya meningkat hari demi hari.

Dalam hal ini, penjenamaan jelas amat penting untuk dititikberatkan sehingga faktor itu menenggelami faktor media sosial.

   Tidak ketinggalan, pelakon Bella Rahim yang mulanya bukan siapa-siapa dalam industri dan kini turut membuktikan hal sama.

Gara-gara tampil sebagai watak tambahan dalam filem fenomena Peninsula: Train To Busan Represents, pengikutnya mendadak daripada ratusan ke ribuan sekarang. Padahal, akaunnya itu baru tiga bulan diwujudkan.

   Pencapaian itu disebabkan pengikut seni tempatan membuka mata untuk menghargai apa yang dibuktikan Bella di luar negara.

Walhal, dia ibarat baharu setahun jagung di mata rakyat Malaysia tapi disebabkan pencapaiannya, pertambahan jumlah pengikut meningkat tanda sokongan mereka kepada mutu seni dalam dirinya.

   Sungguhpun tidak adil jika kualiti anak seni dinilai hanya berdasarkan media sosial, perlu ada juga kesedaran dalam diri artis untuk tidak mudah patah motivasinya.

Untuk melangkau ke tahap yang lebih megah, perihal kecil hati, merajuk atau tawar hati sememangnya tidak membantu langsung.

   Lihat saja bagaimana perjuangan ramai artis senior yang sudah megah namanya termasuk Erra Fazira, Maya Karin, Remy Ishak, Shaheizy Sam dan ramai lagi, kerja-keras mereka tidak pernah lekang.

Hakikatnya, setiap kali diwawancara, mereka pasti mengakui masih lagi banyak yang perlu dipelajari dalam kehidupan anak seni.

   Tidak kiralah cabang seni mana pun, perihal ini terbukti dengan jenama dibina mereka tanpa perlu ikutkan keluh kesah atau merasa tertindas.

Setiap artis nasibnya berbeza-beza, jadi mereka perlu kentalkan hati dan bukannya membandingkan diri mereka dengan pencapaian selebriti lain.

Penulis Wartawan

Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:01 AM