Nynaa Harizal
Nynaa Harizal

Kuala Lumpur: "Kalau kamu minat drama Bollywood...ini adalah drama Bollywood 3 in 1 (tiga dalam satu),"

Demikian kata Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, 29, ketika ditemui hadir bersama isterinya, pelakon Nynaa Harizal, 25, yang mencapai persetujuan untuk berbaik di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

  Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan sensasi ini akhirnya sampai ke penghujung juga apabila kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan untuk berbaik. 

  Bahkan, Fahmi dan isterinya, Nynaa dilihat hadir bersama menaiki satu kenderaan ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi bagi sebutan kes tuntutan kembali taat yang difailkannya pada 12 November lalu. 

   Peguam yang mewakili Fahmi, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, rumah tangga pasangan itu berjaya diselamatkan dan tiada isu nusyuz dalam perhubungan mereka. 

   "Perbicaraan yang berlangsung dihadapan hakim Muhammad Yusof Sulaiman hari ini, berjaya merekodkan penyelesaian atau perintah persetujuan antara kedua belah pihak.

  "Segala butiran dan terma akan diberitahu melalui sidang media bakal diadakan dan salah satu daripadanya adalah mereka bersetuju untuk berbaik semula.

   "Alhamdulillah rumah tangga mereka dapat dipelihara lagi dengan izin Allah," katanya. 

   Sementara itu, Mohamed Fahmi pula berkata dia dan  Nynaa akan menjelaskan apa yang berlaku terhadap rumah tangga mereka secara terperinci dalam satu sidang media esok.

   "Apa yang peguam saya cakap adalah benar. Kami akan jelaskan segalanya tentang situasi kami dalam sidang media lain nanti. Anda boleh tanya semua soalan yang ingin diajukan sebab mahkamah dah bagi perintah, kertas kerja akan siap petang ini atau esok," katanya. 

   Pada 11 November lalu, Fahmi di mahkamah sama membuat tuntutan agar isterinya kembali taat dan pulang ke pangkuannya selepas hampir dua minggu Nynaa didakwa keluar rumah tanpa kebenaran. 

   Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember iaitu hari ini untuk sebutan semula kes terhadap permohonan dibuat itu.    

   Menerusi permohonan yang dibuat berkenaan, Fahmi meminta isterinya kembali taat dan pulang ke kediaman mereka di Jalan Pinang, di sini.

   Nynaa pula bertindak memfailkan penceraian secara baik dengan Fahmi di Mahkamah Rendah Syariah Johor, Johor Bahru pada 10 November lalu.   

   Terdahulu, Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu. Bagaimanapun, pada 3 November, Fahmi mendakwa isterinya 'dilarikan' oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama dan tidak pasti di mana Nynaa berada, namun mengesyaki isterinya berada di kediaman keluarga mentua di Johor. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:32 PM