HARIZAL didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO NORZAMIRA CHE NOH
HARIZAL didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO NORZAMIRA CHE NOH
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Bapa kepada seorang pelakon wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas perbuatan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan pistol ke atas seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Harizal Hashim, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.

Mengikut kertas pertuduhan, Harizal iaitu bapa kepada Nynaa yang juga pelakon Kekasih Paksa Rela dan Chandelier didakwa melakukan perbuatan menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun di tepi Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada 1.40 pagi, 2 November lalu.

Justeru, dia dakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM5,000 manakala Harizal tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Harizal yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan perkhidmatan cemerlangnya selama 25 tahun dalam TUDM.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Disember depan.

Sebelum ini, media melaporkan suami Nynaa, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas mendakwa isterinya dilarikan keluarga pelakon itu sendiri ketika mengikuti penggambaran sebuah drama pada awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:52 PM