Nynaa Harizal bersama suami, Mohamed Fahmi Ilyas.
Nynaa Harizal bersama suami, Mohamed Fahmi Ilyas.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Semua orang kena tahu batasan."

Itu kata suami kepada pelakon Nynaa Harizal iaitu Mohamed Fahmi Ilyas mengenai campur tangan keluarga dan ibu bapa dalam perkahwinan anak-anak mereka.

Fahmi ketika ditemui berkata, sebagai suami, dia tidak memaksa isteri untuk menganggap suami sebagai orang nombor satu dalam kehidupan.

"Bukanlah maksud saya isteri perlu meletakkan suami nombor satu kerana keluarga juga penting, tetapi keluarga perlulah tahu batasan mereka.

"Kami juga manusia biasa yang ada matlamat dalam kehidupan dan tak boleh mengikut arahan orang lain. Kita sebagai anak boleh cuba sedapkan hati mereka, tapi tak boleh melampaui batasan.

"Kita bukan patung atau robot. Anak memang tetap anak, tapi ibu bapa perlu terima bahawa anak-anak mereka akan meningkat dewasa," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Nynaa yang sebelum ini pernah didakwa 'dilarikan' bapanya berkata, hubungannya dengan keluarganya baik-baik saja, tetapi tidak serapat dulu.

"Tipulah kalau saya cakap hubungan dalam keluarga tak ada masalah. Sekarang saya harap semuanya kembali normal. Hubungan saya dengan keluarga masih baik.

"Sebelum ini, saya rapat dengan semua ahli keluarga termasuklah ibu, bapa, kakak dan saudara-saudara sebab saya jenis utamakan keluarga. Namun, keutamaan sekarang adalah suami saya," katanya.

Mengakui insiden yang berlaku itu adalah fasa paling sukar dalam kehidupan dan perkahwinannya, Nynaa tahu dia dan semua yang terbabit dikecam hebat ketika itu.

"Insiden tempoh hari memang sangat sukar dan menyusahkan hidup. Susah untuk saya jelaskan di sini. Seperti yang semua sedia maklum, pada ketika itu saya tak ada akses kepada telefon atau apa-apa media untuk berhubung dengan dunia luar.

"Bila saya kembali ke rumah, barulah saya dapat baca komen-komen netizen. Orang tak tahu apa yang berlaku. Ramai orang kecam, tapi masing-masing punya pendapat," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi yang menemani isterinya sepanjang sesi temubual juga mengucapkan terima kasih kepada media yang membantunya dalam menyelesaikan isu rumah tangga mereka.

"Saya terhutang budi kepada rakan-rakan media. Tanpa bantuan mereka, saya takkan ada cara langsung untuk mendapatkan isteri saya kembali," katanya.

Terdahulu, kisah rumah tangga mereka menjadi tumpuan apabila pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya 'dilarikan' bapa mentuanya ketika sedang menjalani penggambaran sebuah drama.

Fahmi juga tidak pasti di mana isterinya berada tetapi mengesyaki dia bersama keluarganya di Johor.

Nynaa kemudiannya memfailkan perceraian secara baik dengan Fahmi pada 10 November lalu dan sebutan kes berlangsung pada 18 November di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.

Pada 11 November, Fahmi yang diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan tuntutan agar isterinya kembali taat dan pulang ke pangkuannya selepas hampir dua minggu Nynaa didakwa keluar rumah tanpa kebenaran.

Krisis terbabit akhirnya sampai ke penghujung apabila kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan untuk berbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 10:41 AM