Raissuddin Hamzah
Raissuddin Hamzah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Genap 100 hari pemergian penyanyi Allahyarham Siti Sarah, kelmarin, bapanya Raissuddin Hamzah, 61, menyifatkan ia masih lagi satu kenyataan yang sukar untuk diterima.

Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon era 1980-an itu berkata, dia perlu reda dengan ketentuan Ilahi selain memanjatkan rasa syukur apabila dia diberi kesempatan untuk memasang batu nesan di kubur anaknya.

"Genap 100 hari saya ke kubur dan pasangkan batu nesan untuk arwah di kepala dan kakinya. Apabila pasang, saya melihat namanya, Siti Sarah Binti Raissuddin kembali ke rahmatullah, saya terkedu. Sepatutnya dia yang pasangkan batu nesan untuk bapanya. Ini sudah terbalik, tapi itulah kerja Allah yang kita tak boleh jangka.

"Justeru genap 100 hari pemergiannya, semua rasa yang saya ada, saya kena tolak tepi dan reda. Saya kena terima kenyataan bahawa dia sudah tiada," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai hubungannya bersama empat cucunya, Raissuddin berkata, dia bertuah kerana cucu-cucunya mirip Siti Sarah.

"Bila saya rindu, saya panggil nama dia saja. Semua yang ada dengan saya sekarang adalah kenangan. Dia dari lahir memang sudah di tangan saya. Dia membesar atas tangan saya. Jadi kami memang rapat. Dia pun rapat dengan saya, apa masalah pun dia berkongsi bersama saya.

"Saya rasa saya bertuah sebab anak Sarah yang pertama iaitu Uwais memang mirip dia, perbezaan cuma Uwais lelaki dan Sarah adalah perempuan. Uwais sampai sekarang masih tidur di ketiak saya lagi. Dari situ saya ubati kerinduan saya, iaitu menerusi Uwais. Dan sama juga dengan Ayash Affan genap 100 hariĀ  saya lihat dia mirip Sarah ketika kecil. Jadi apabila adanya mereka, ia sedikit sebanyak mengubati kerinduan saya pada Sarah," katanya.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui kaedah pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM pada 9 Ogos lalu.

Allahyarham meninggalkan suami, Shuib dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash, tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:29 PM