Shuib akui emosinya masih belum pulih sepenuhnya. FOTO AZIAH AZMEE
Shuib akui emosinya masih belum pulih sepenuhnya. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Putrajaya: "Sejak arwah tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hampir semua diri ini hilang," kata pelawak popular Shuib yang mengakui emosinya masih belum pulih sepenuhnya dan sukar mengawal perasaan setiap kali terkenangkan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos lalu.

Shuib berkata, emosi antara perkara yang paling sukar dirawat walaupun Allahyarham sudah pergi lebih dua bulan lalu.

"Saya akui kesukaran yang saya hadapi sepanjang bergelar bapa tunggal ini adalah emosi. Saya rasa itu yang paling susah untuk saya. Saya tengok anak-anak saya, Alhamdulillah emosi mereka stabil tapi saya berbeza.

"Ketika hayatnya, saya buat hampir semua benda dengan Sarah. Saya banyak kongsi hal kerjaya dan juga perniagaan dengannya. Contohnya kalau ada masalah dalam perniagaan atau peribadi, saya rujuk dengan dia dan begitu juga sebaliknya.

"Jadi bila dia tiada, saya tak tahu mahu rujuk pada siapa. Sampai sekarang, bila saya ada masalah, saya tak cakap dengan orang walaupun dengan mak atau mentua saya.

"Apa yang mampu saya lakukan untuk mengawal emosi saya adalah dengan pergi ke kubur dan berkongsi dengannya," katanya.

Menurut Shuib, dia akan menziarahi kubur isterinya setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi setiap apa yang terbuku di hatinya.

Shuib berkata, dia juga masih berehat panjang dan sudah lama tidak ke pejabatnya kira-kira lima bulan serta lebih dua bulan dia tidak bekerja.

"Setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang menjaga Sarah dulu untuk memeriksa kesihatan saya. Lebih kurang pakar psikiatri bagi memantau keadaan kesihatan mental saya.

"Ini kerana kesihatan mental ini berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita. Namun, saya bersyukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga anak-anak saya.

"Alhamdulillah sekarang ini kami juga buat apa yang kami tak pernah buat sebelum ini seperti mengaji al-Quran setiap malam dan solat berjemaah. Jadi perkara seperti itulah yang sangat membantu kesihatan mental saya," katanya.

Ditanya mengenai keadaan anak bongsunya, Ayash Affan, Shuib berkata, anaknya membesar dengan sihat dan mudah dijaga.

"Ayash adalah anak yang sangat luar biasa. Saya tiada masalah langsung kerana mudah jaga, tak banyak merengek dan bayi yang sangat baik.

"Alhamdulillah, dia juga menunjukkan perkembangan kesihatan yang sangat baik. Dia dilahirkan seberat 1.8 kilogram (kg) dan kemudian saya ambil dia ketika beratnya 2.6 kg dan kini beratnya sudah 4.1 kg," katanya.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19.

Siti Sarah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), HCTM, UKM pada jam 5.13 pagi, 9 Ogos lalu.

Allahyarham meninggalkan suami dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6; dan Ayash.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 5:32 PM