Uwais Alqarni
Uwais Alqarni
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Video anak sulung kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Uwais Alqarni,12, yang menceritakan kisah di sebalik bau minyak wangi kegemaran ibunya meruntun hati netizen dengan rata-ratanya sedih melihat wajah Uwais yang seolah-olah memendam rindu.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram milik Sarah, Uwais, berkongsi kisah permulaan di sebalik minyak wangi yang menjadi antara kegemaran ibunya sewaktu mereka sama-sama bercuti di Australia, suatu ketika dahulu.

Ibu tiri Allahyarham Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi, 34, yang berjaya merakam detik itu ketika dihubungi berkata, Uwais adalah anak paling manja dengan arwah dan sering berkongsi apa sahaja momen indah bersama arwah ibunya sebelum ini.

"Video itu saya rakam ketika dia masuk ke bilik saya. Entah bagaimana kami bersembang mengenai minyak wangi dan tiba-tiba Uwais buka cerita mengenai minyak wangi kegemaran ibunya sewaktu mereka bercuti di Australia.

"Kalau kita lihat daripada riak wajahnya dalam video itu, dia sangat rindukan arwah ibunya tapi dia seorang yang memendam. Sehingga hari ini dia masih bercakap mengenai ibunya.

"Misalnya kalau mengenai makanan, dia akan cakap ibunya suka sangat makanan ini termasuklah hal-hal lain yang dia masih ingat dan menceritakan kepada saya dan suami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fatimah, biarpun Uwais jarang berkongsi kerinduan terhadap arwah ibunya namun pernah satu ketika dia menangis teresak-esak selepas menonton video arwah di YouTube.

"Dia jarang mengadu kalau dia rindu arwah ibunya, tapi kita boleh tahu dari riak wajahnya itu.

"Saya selalu perasan kalau dia teringatkan arwah, dia akan buka YouTube dan menonton video-video ibunya termasuk muzik video nyanyian Sarah.

"Jadi daripada situ kita boleh nampak dia sangat rindukan ibunya. Pernah berlaku satu peristiwa dia menangis ketika kami dalam perjalanan ke sebuah lokasi.

"Saya dan suami terkejut melihat keadaannya yang tersedu-sedu selepas menonton video arwah ibunya di aplikasi itu," katanya.

Tambah Fatimah, Uwais kini menetap bersamanya dan sebagai nenek dia cuba memberikan sepenuh kasih sayang terhadap cucunya itu.

"Saya akan layan dia sama seperti arwah beri perhatian kepadanya sebelum ini.

"Macam sekarang di bulan Ramadan ini, saya selalu bertanya kepada Uwais apa menu berbuka yang dia mahu kerana ketika arwah Siti Sarah masih ada itulah pertanyaan yang dia akan tanya kepada anak-anaknya," katanya.

Untuk rekod, Sarah yang popular menerusi lagu Kesetiaan meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sarah yang terpaksa ditidurkan sempat melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan secara pembedahan pada 6 Ogos 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 3:32 PM