Shuib
Shuib
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib menitipkan ucapan ringkas sempena ulang tahun kelahiran wanita yang kini sedang berkawan rapat dengannya iaitu Watie Hanifiah.

Biarpun komen yang ditinggalkan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad semalam itu ringkas namun berjaya meninggalkan impak apabila disedari ramai.

"Selamat ulang tahun," tulis Shuib secara ringkas berserta emoji tutup mata dan jelir lidah.

Rata-rata netizen juga membalas komen Shuib dengan meminta pasangan itu untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik, Watie secara berseloroh bukan sahaja usia meningkat namun kematangan, tanggungjawab, pengalaman dan bahagia juga bertambah.

"Bertambah umur, bertambah matang, bertambah kenangan, bertambah tanggungjawab, bertambah pengalaman, bertambah bilangan dan bertambah bahagia.

"Alhamdulillah, bertambah syukur. Oh… tertinggal lagi satu, bertambah gemoi (gemuk)," kongsi Watie.

Shuib dan Watie bersikap lebih terbuka mengenai hubungan akrab mereka selepas dilihat bersama-sama menghadiri konsert Lah Ahmad baru-baru ini.

Menguatkan lagi perkara itu apabila Shuib, 39, turut mendedahkan percintaannya dengan ahli perniagaan, Watie Hanifiah mendapat restu ibunya, Salamiah Jalani.

Shuib berkata, dia tertarik dengan personaliti Watie kerana sikap penyayang yang diperlihatkan terutama terhadap anak-anaknya selain mempunyai ciri-ciri seperti Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin.

Untuk rekod, Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan pasangan itu dikurniakan empat anak, Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan yang berusia setahun.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 3:24 PM